BERITA PASUKAN

PASUKAN MELAKA UNITED ANTARA PASUKAN ‘FAVOURITE’ UNTUK BURU KEJUARAAN LS2019

Pasukan Terengganu FC bakal menentang antara pasukan favourite dalam pemburuan kejuaraan Liga Super 2019 iaitu Melaka United pada Sabtu ini bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS). Saingan Liga Super kali ini bakal menemukan skuad kendalian Haji Irfan Bakti dengan pasukan Melaka yang berwajah baru iaitu dengan kehadiran deretan pemain bintang ke pasukan ini dan perbezaan ketara ditampilkan oleh pasukan ini berbanding tahun lepas yang telah menjadikan pasukan ini antara pasukan pilihan untuk mendapatkan kejuaraan liga musim ini. Pasukan Melaka yang menduduki tempat ke-5 liga hanya berbeza 1 mata antara pasukan TFC namun Melaka masih berbaki 1 perlawanan yang masih belum dimainkan dan akan berlangsung pada malam ini menentang pasukan Kuala Lumpur FA.

Selepas perlawanan menentang Perak FA, ketua jurulatih TFC telah mengingatkan anak-anak buahnya tentang prestasi yang ditampilkan dan semestinya pasukan TFC perlu lebih bersedia dalam aksi menentang Melaka United dalam misi untuk memburu kemenangan pertama di SSINS. Prestasi pemain TFC pada ketika ini masih menjadi perbualan penyokong dan peminat pasukan ini walaupun pasukan ini masih kebal di SSINS dengan rekod tanpa sebarang kekalahan. Untuk rekod pasukan TFC dalam 5 perlawanan terawal, pasukan ini hanya kalah sekali , menang sekali dan selebihnya mencatatkan rekod keputusan seri dan kini berjaya mengumpulkan 6 mata.

Walaupun begitu penyokong TFC dilihat terus bersemangat dan semakin agresif dalam hadir memberikan sokongan dengan peningkatan kehadiran penyokong ke stadium dari setiap perlawanan dan perlawanan menentang Perak FA minggu lepas telah mencatatkan kehadiran tertinggi tahun ini iaitu 10,300 orang penyokong.

Pada perlawanan Sabtu ini, respon penyokong melalui pelbagai rangkaian media sosial TFC sekali lagi memberikan reaksi berbeza berbanding tahun lepas dengan meluahkan yang mereka akan tetap hadir memberikan sokongan kepada pasukan ini walaupun prestasi pasukan masih belum cukup baik. Semestinya ini perlu diberikan perhatian oleh setiap pemain dan pasukan TFC untuk meningkatkan usaha sebagai tindak balas positif dalam pengorbanan yang diberikan oleh penyokong.

Malik Ariff yang terlepas perlawanan sebelum ini dijangka akan kembali memperkuatkan pasukan Sabtu ini disamping Suffian Rahman dilihat bakal kekal menjadi penjaga gawang TFC dengan prestasi yang cemerlang ditampilkan beliau pada perlawanan sebelum ini. Sabtu ini dijangka SSINS sekali lagi akan dibanjiri oleh penyokong pasukan TFC yang semestinya dahagakan kemenangan di laman sendiri ini dan semestinya pemain-pemain ingin melakukannya pada perlawanan kali ini untuk membalas kepercayaan yang diberikan.