BERITA PASUKAN

AKSI LEBIH AGRESIF PADA SEPARUH MASA KEDUA BANTU KITA MENDAPATKAN 3 MATA

Pasukan Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk mendapatkan kemenangan pertama setelah berjaya menumpaskan pasukan Kuala Lumpur FA dengan jaringan 0-1 sekaligus memberikan 3 mata berharga buat pasukan TFC. Pasukan TFC yang bertandang ke gelanggang lawan pada malam ini sememangnya hadir untuk memburu kemenangan setelah gagal membuktikannya dalam 3 perlawanan terawal saingan Liga Super 2019.

Kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama beraksi dengan agak berhati-hati dimana pasukan TFC berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya 3 cubaan kearah pintu gol lawan namun ketajaman di bahagian serangan TFC masih belum berkesan untuk mendapatkan jaringan. Keadaan padang yang menyebabkan bola sedikit melambung juga menyebabkan pemain lebih berhati-hati dalam melakukan hantaran. Gandingan Lee Tuck , Sanjar dan Syamim berjaya melakukan beberapa percubaan tepat namun ketangkasan penjaga gol lawan Sharbinee berjaya menyelamatkan pintu gol pasukan tuan rumah dari dibolosi.

Bersambung separuh masa kedua, intensiti perlawanan meningkat dimana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan TFC berjaya mengawal permainan. Hasilnya, pasukan TFC berjaya mendapatkan gol pertama melalui satu set pieces dari kanan apabila tendangan sudut yang diambil oleh Lee Tuck berjaya ditanduk masuk oleh pemain pertahanan, Igor Zonjic untuk memberikan gol pertama buat pasukan TFC.

Selepas berjaya mendapatkan gol pertama, TFC bertambah rancak dalam usaha melakukan serangan ke gelanggan lawan. Kemasukan Khairul Anwar dan juga Shahrul Aizad terus menambah kelajuan di bahagian kiri dan kanan pasukan TFC dan hasilnya Shahrul Aizad hampir menambah jaringan buat TFC melalui satu rembatan deras dari luar kotak penalti namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah sekali lagi menafikan cubaan yang dilakukan.

Perlawanan akhirnya tamat dengan pasukan TFC akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan di awal musim ini dan berjaya mendapatkan 3 mata berharga di tempat lawan. Kedudukan tangga liga minggu keempat bagi pasukan TFC yang memungut 5 mata pada ketika ini masih belum dapat dipastikan kerana masih ada beberapa pasukan yang belum beraksi pada minggu ini.

Tahniah diucapkan kepada pemain-pemain dan barisan kejurulatihan dan semestinya kredit penuh buat pemain ke-12 pasukan ini, iaitu penyokong-penyokong yang hadir membanjiri Stadium Kuala Lumpur ini. Kita berjaya membuatkan pemain merasakan seperti beraksi di gelanggang sendiri. Selepas ini pasukan TFC akan menentang pasukan Perak FA di Terengganu pada 1 Mac 2019 dan semestinya gelanggang kita bakal sekali lagi dipenuhi oleh penyokong Hitam dan Putih yang akan membawa aura yang luar biasa untuk menaikkan semangat pemain-pemain kita.