BERITA PASUKAN

CUMA ROMBAKAN KECIL DI BAHAGIAN SERANGAN PASUKAN BAGI PERLAWANAN MENENTANG KUALA LUMPUR

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Haji Irfan Bakti menyatakan pada media pada awal pagi tadi, tiada rombakan besar-besaran yang akan dilakukannya dalam aksi menentang pasukan Kuala Lumpur FA (KLFA) pada malam ini. Beliau hanya melakukan sedikit pertukaran pemain untuk menyesuaikan dengan taktikal yang akan digunakan selain disebabkan ada pemain yang beraksi menentang Johor Darul Takzim minggu lepas yang mengalami kecederaan.

Ditanya berkenaan status Khairul Izuan atau lebih dikenali sebagai Iwe, Irfan menyatakan sememangnya Iwe tidak dapat diturunkan pada malam ini kerana mengalami kecederaan hamstring semasa perlawanan menentang JDT. Walaubagaimanapun kecederaan beliau tidak begitu serius dan berkemungkinan akan dapat kembali bersama pasukan pada perlawanan-perlawanan akan datang. Namun begitu Irfan masih belum memaklumkan siapakah yang akan mengisi tempat yang ditinggalkan Iwe ini dan semestinya ramai yang menginginkan ‘the silent killer’ Terengganu, Ashari Samsudin berada dalam kesebelasan utama pasukan tetapi ianya bergantung diatas susunan dan perancangan taktikal pasukan TFC. Irfan juga memuji ketiga-tiga pemain simpanan TFC yang dibawa masuk pada perlawanan lepas iaitu, Ashari Samsudin, Malik Ariff dan Khairul Anwar yang nyata memberi impak dalam serangan pasukan ini.

Irfan dalam temubual media pada pagi ini menyatakan beliau menyeru buat kesemua pemain supaya turun malam ini dengan memberikan tumpuan sepenuhnya dan mengekalkan semangat dan momentum seperti perlawanan yang lepas dan yang paling penting jangan sesekali ada sikap sambil lewa dalam perlawanan. Ini kerana kita tahu bahawa pasukan Kuala Lumpur masih belum berjaya mendapatkan mata dalam saingan kali ini dan ini bukan bererti mereka pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Dalam liga Malaysia, pasukan dari Liga Perdana juga kadang-kadang berjaya menumpaskan pasukan yang beraksi di Liga Super dan ini bergantung atas konsentrasi dan tumpuan serta semangat pemain-pemain dalam sesebuah pasukan.

Irfan menyatakan pemainnya telah bersedia bagi perlawanan pada malam ini dan pada tahun lepas kita berjaya menumpaskan Kuala Lumpur FA di stadium yang sama, dan semestinya ini adalah salah satu motivasi buat pemain untuk memberikan keyakinan buat mereka. Pada malam ini dijangka Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras ini akan juga dihadiri oleh ribuan penyokong pasukan TFC.