Ulasan Perlawanan Liga Super: Kelantan RW FC vs Terengganu FC
Liga Super Malaysia 2025/2026 Kelantan TRW FC lwn Terengganu FC
Saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 menyaksikan Terengganu FC bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi menentang Kelantan TRW FC selaku tuan rumah perlawanan pada malam ini.
Skuad Terengganu FC turun beraksi tanpa beberapa tonggak utama selepas Akhyar Rashid dan Rahadiazli Rahalim diketepikan akibat kecederaan. Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman menyatakan bahawa walaupun kehilangan beberapa pemain utama, beliau tetap percaya dengan kemampuan barisan pemain yang ada untuk berjuang mendapatkan mata penuh. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan para pemain agar tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan.
Sejurus sepak mula, Terengganu FC tampil lebih agresif dengan melakukan tekanan awal ke atas pasukan tuan rumah bagi mencari jaringan pembukaan. Peluang terawal hadir menerusi rembatan pemain import, Kastaneer namun percubaannya berjaya dinafikan oleh penjaga gol Kelantan TRW FC, Damyan Valeriy.
Skuad Terengganu FC terus mengasak kubu lawan sepanjang separuh masa pertama, namun beberapa peluang yang terhasil gagal diterjemahkan kepada jaringan. Kedua-dua pasukan akhirnya menamatkan babak pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Memasuki separuh masa kedua, Terengganu FC terus meningkatkan tempo permainan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-57. Hantaran kemas daripada Careca berjaya disempurnakan oleh Kastaneer untuk meletakkan Terengganu FC di hadapan.
Terengganu FC kemudian melakukan pertukaran pemain dengan membawa masuk Khalaif Naskam bagi menggantikan Saiful Jamaluddin. Tidak lama selepas itu, Tengku Hazman sekali lagi melakukan rombakan dengan memasukkan Hairiey Hakim dan Ubaidullah bagi menggantikan Alif Zakaria serta Engku Shakir.
Kelantan TRW FC cuba bangkit mencari gol penyamaan pada penghujung perlawanan, namun benteng pertahanan Terengganu FC berjaya mengekang setiap percubaan pihak lawan.
Pada masa kecederaan, Terengganu FC berjaya menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shervoni sekaligus mengesahkan kemenangan buat pasukan pelawat.
Perlawanan tamat dengan keputusan Kelantan TRW FC 0-2 Terengganu FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/2026.