WARIS LAGENDA BOLA SEPAK TERENGGANU TERIMA PENCEN PENAKAT PERKESO

Waris kepada Allahyarham Zulharisam Awang, bekas Kapten Pasukan Bola Sepak Terengganu yang terkenal pada era 2000 an, menerima perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi penyaluran Faedah Pencen Penakat bagi menjamin kelangsungan hidup keluarga yang ditinggalkan.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 51 tahun akibat kanser hati dan usus pada 5 Februari lalu di Kampung Baru Gong Badak merupakan seorang yang banyak berjasa kepada pembangunan bola sepak Negeri Terengganu. Ketika berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarham turut menabur bakti sebagai tulang belakang dan jurulatih Skuad Liga IPT UniSZA sehingga ke penghujung hayatnya.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat balunya, Nik Noratiza Nik Abd Aziz, 47, serta tiga orang cahaya mata berusia antara 12 hingga 19 tahun yang kini kehilangan tempat bergantung.

Menyedari beban yang dipikul keluarga ini, Skuad PERKESO Prihatin Terengganu telah menyantuni waris Allahyarham dan melalui semakan proaktif mendapati keluarga ini layak menerima manfaat hasil caruman Allahyarham di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak tahun 2008.

Waris Allahyarham telah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara bayaran sekali sahaja, selain Faedah Pencen Penakat berjumlah RM764.58 sebulan. Pencen tersebut akan diterima oleh balu Allahyarham sepanjang hayatnya, manakala tiga anak mereka termasuk anak sulung yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan terus dibantu sehingga mereka mampu berdikari selepas menamatkan pengajian ijazah pertama kelak.

Penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Hajah Farihan Che Hussin dalam satu sesi Ziarah Prihatin yang turut dihadiri pihak pengurusan Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), pemain dan pegawai Terengganu FC, wakil Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), wakil majikan UniSZA.

Terengganu FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PERKESO atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada keluarga Allahyarham. Jasa serta pengorbanan Allahyarham Zulharisam Awang sebagai antara tokoh bola sepak Terengganu akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah pasukan dan di hati para penyokong. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.