TERENGGANU FC JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA TERENGGANU MARATHON

Terengganu Football Club (Terengganu FC) hari ini mengumumkan satu kerjasama strategik bersama pihak penganjur Terengganu Marathon, yang bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa gaya hidup sihat serta memperluas penglibatan komuniti dalam aktiviti sukan. Kerjasama yang bermula pada tahun 2026 ini dijangka akan terus diperkukuhkan dan diperluaskan pada tahun-tahun akan datang, selaras dengan komitmen kedua-dua pihak dalam mempromosikan pembangunan sukan dan kesejahteraan masyarakat.

Melalui kerjasama ini, Terengganu FC akan turut memainkan peranan dalam mempromosikan Terengganu Marathon sebagai salah satu acara sukan utama di negeri ini. Inisiatif ini bertepatan dengan peranan kelab bola sepak sebagai ejen perubahan dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, Terengganu FC turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam Terengganu Marathon 2026 menerusi TM26 RUNNING EXPO. Dalam program ini, kelab akan membuka booth jualan rasmi yang menawarkan pelbagai barangan kepada kira-kira 40,000 peserta serta pengunjung yang hadir sepanjang acara berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 30 April sehingga 2 Mei 2026.

Kerjasama ini juga memberi nilai tambah kepada rakan penaja Terengganu FC, di mana mereka akan diberikan peluang eksklusif untuk turut serta dalam TM26 Running Expo ini, sekali gus memperluaskan capaian jenama masing-masing kepada khalayak yang lebih luas. Dalam jangka masa panjang, inisiatif ini turut membuka peluang kepada Terengganu FC untuk membina komuniti ‘runner’ dalam kalangan penyokong setia pasukan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara kelab dan peminat melalui platform gaya hidup sihat.

Kedua-dua pihak juga melihat potensi untuk menganjurkan pelbagai acara sampingan (side event) pada masa akan datang, yang mampu menambah nilai kepada pengalaman peserta serta memperkukuh ekosistem sukan di Terengganu. Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah progresif dalam merapatkan hubungan antara sukan bola sepak dan acara larian, seterusnya menjadikan Terengganu sebagai hab sukan yang lebih dinamik dan inklusif.