Ulasan Perlawanan Johor Darul Tazim FC Melawan Terengganu FC
Pasukan Terengganu FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menghadapi pasukan tuan rumah Johor Darul Ta’zim FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/2026, selepas hampir sebulan tanpa perlawanan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa. Terengganu FC turun tanpa beberapa tonggak utama susulan kecederaan serta penggantungan pemain.
Seawal sepak mula, pasukan tuan rumah menunjukkan penguasaan dengan memberikan tekanan berterusan ke arah kubu Terengganu FC. Beberapa percubaan berbahaya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Rahadiazli Rahalim. Terengganu FC turut mencipta peluang sekitar minit ke-20, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Johor Darul Ta’zim akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi penyerang mereka, Bergson. Terengganu FC bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil rembatan Ekhson, sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan seri 1-1.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan permainan dalam usaha mencari gol kemenangan. Johor Darul Ta’zim terus mengasak, namun benteng pertahanan Terengganu FC kekal kental mengekang asakan lawan.
Terengganu FC turut berpeluang mencuri kemenangan menerusi satu peluang keemasan, namun gagal disempurnakan. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/2026.