TERENGGANU FC TAMBAH KETAJAMAN DAN GAYA DENGAN MILLS INDONESIA

TERENGGANU FC Sdn. Bhd. (TFCSB) semakin mengorak langkah ke hadapan dengan mengumumkan kerjasama bersama jenama sukan terkenal dari Indonesia, MILLS, sebagai Kasut Sukan Rasmi Kelab bagi musim 2025–2026. Melalui kerjasama terbaharu ini, kesemua pasukan Terengganu FC akan berpeluang menggunakan kasut keluaran MILLS yang terkenal dengan teknologi terkini, tahap keselesaan yang tinggi serta prestasi cemerlang di persada antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, melahirkan rasa bangga dengan kerjasama ini yang sekali gus membuktikan jenama dan prestasi Terengganu FC mampu menarik perhatian jenama antarabangsa. “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan MILLS, sebuah jenama yang diyakini oleh atlet di seluruh dunia. Ini sejajar dengan visi kami untuk memberikan fasiliti dan kelengkapan terbaik kepada pemain demi mencapai prestasi optimum. Kehadiran MILLS ke dalam keluarga Terengganu FC juga membuktikan bahawa jenama TFC mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menarik perhatian jenama antarabangsa untuk menjalin kerjasama. Kami di TFC tidak hanya memberi tumpuan kepada skuad utama sahaja, tetapi juga kepada skuad pembangunan, dan kerjasama ini sudah pasti akan membantu kesemua pasukan kami mencapai kejayaan yang lebih baik di dalam padang,” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman di Jakarta.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran MILLS, Stevendy Tjen, mengakui pihaknya melihat potensi besar yang dimiliki oleh Terengganu FC, khususnya ketika beraksi di peringkat Piala AFC dan Piala Shopee sebelum ini, yang mendorong mereka untuk menjalin kerjasama strategik bersama kelab di Liga Super Malaysia. “Saya mewakili pihak pengurusan MILLS menyambut baik kerjasama antara kami dan Terengganu FC, serta berharap kerjasama ini dapat berkembang menjadi lebih luas pada masa akan datang. Dengan kualiti dan kekuatan R&D yang dimiliki oleh MILLS, kami yakin produk yang ditawarkan mampu memberi impak positif kepada industri sukan, terutamanya bola sepak di Malaysia. Selain itu, kerjasama ini juga seiring dengan cita-cita MILLS untuk menembusi pasaran global, di mana sebelum ini kami telah memasuki pasaran Eropah melalui penajaan kelab Tranmere Rovers dan F.C.V Dender,” jelasnya.

Jenama MILLS bukanlah asing dalam dunia bola sepak, di mana ia telah menjadi penaja rasmi Tim Nasional Indonesia pada Kejohanan Piala Asia Qatar 2023, serta dipertontonkan kepada dunia ketika Indonesia menentang juara dunia, Argentina, dalam perlawanan persahabatan tahun lalu. Jenama ini juga bakal menjadi pakaian rasmi pasukan Indonesia di Sukan SEA yang akan berlangsung pada Disember nanti. Menerusi kerjasama ini, ia dijangka dapat meningkatkan lagi jenama kedua-dua pihak serta memberikan manfaat kepada komuniti penyokong melalui pelbagai aktiviti promosi, jualan khas dan kolaborasi eksklusif.