MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA TERENGGANU FOOTBALL CLUB DAN INSAFF GROUP

Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) malam ini melakar satu lagi detik bermakna apabila berlangsungnya Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Insaff Group, sebuah syarikat tempatan yang lahir dan membesar di bumi Terengganu.

Majlis ini menyaksikan penandatanganan perjanjian oleh Yang Berusaha Ustaz Mohd Aswadi Bin Ali, Ahli Lembaga Pengarah Insaff Group dan Yang Berusaha Encik Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB).
Upacara turut disaksikan oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah Insaff Group serta Yang Berhormat Mohd Fadli Rahmi Bin Zulkifli, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Mohd Fadli Rahmi Bin Zulkifli menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas jalinan kerjasama ini yang disifatkan sebagai satu langkah penting memperkukuhkan hubungan antara pasukan dan syarikat tempatan.

“Kerjasama ini bukan sekadar satu perjanjian, tetapi lambang semangat anak jati Terengganu yang mahu bersama-sama membangunkan bola sepak negeri. Sokongan seperti ini membuktikan kekuatan semangat komuniti dan kecintaan rakyat terhadap Terengganu FC. Saya yakin MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa akan datang.

Insaff Group merupakan jenama anak jati Terengganu yang merangkumi pelbagai cabang perniagaan termasuk In Saff Travel & Tours, agensi pelancongan Muslim yang berpengalaman dimana In Saff Food Industries adalah pengilang dan pembekal makanan halal yang berkualiti serta In Saff Grill, merupakan restoran yang menyajikan hidangan halal penuh cita rasa. Semua usaha ini mencerminkan komitmen Insaff Group dalam menawarkan perkhidmatan berasaskan nilai, kualiti dan keikhlasan.

Kerjasama strategik ini dijangka akan memperkukuhkan lagi aspek penjenamaan, pembangunan dan hubungan komuniti, sekaligus membawa Terengganu FC ke tahap yang lebih tinggi dengan sokongan padu daripada syarikat dan rakyat negeri ini.