Ulasan Perlawanan Terengganu FC Melawan Kelantan TRW FC

Derby Pantai Timur kembali menghiasi saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 apabila Terengganu FC melayani kunjungan seteru tradisi, Kelantan TRW FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Selaku tuan rumah, skuad kendalian Badrul Afzan jelas bertekad untuk bangkit selepas kekalahan kepada Kuala Lumpur City FC sebelum ini. Beliau menegaskan kepada anak buahnya agar tidak lalai, sebaliknya menjadikan perlawanan lalu sebagai pengajaran untuk memperbaiki prestasi.

Separuh Masa Pertama Seawal minit ke-10, stadium bergema apabila jaringan awal Terengganu FC dibatalkan pengadil. Namun, tekanan yang berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan percuma daripada Nurillo Tukasinov berjaya memberi peluang kepada Diego Landis pada minit ke-23 berjaya menewaskan benteng Kelantan TRW.

Tuan rumah terus menambah derita pelawat apabila Nurillo Tuktasinov bijak menyudahkan peluang hasil sungkitan untuk jaringan kedua pada minit ke-30.

Tidak lama kemudian, hantaran lintang tepat daripada Azam Azmi berjaya dijaringkan oleh penyerang Yan Mabella pada minit ke-39 untuk gol ketiga Terengganu FC. Babak pertama berakhir dengan kelebihan selesa, Terengganu FC 3-0 Kelantan TRW FC.

Separuh Masa Kedua Kelantan TRW cuba bangkit selepas rehat, dan usaha mereka berhasil apabila rembatan kencang Saravanan pada minit ke-50 berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Badrul Afzan kemudian melakukan rombakan taktikal dengan memasukkan Kyaw Min Oo dan Alif Zakaria bagi menggantikan Akram Mahinan serta Mohamad Baqiuddin. Percaturan itu membuahkan hasil apabila Yan Mabella sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-72 untuk gol keempat Terengganu FC.

Kelantan TRW terus berusaha mencari jaringan tambahan, namun kekentalan benteng tuan rumah menutup segala ruang. Perlawanan tamat dengan keputusan penuh dengan jaringan Terengganu FC (4) (1) Kelantan TRW FC bagi aksi Liga Super Malaysia 2025/2026.