MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA TERENGGANU FOOTBALL CLUB SDN BHD & GANU MOTOR

Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Ganu Motor dalam satu majlis yang dilangsungkan sebentar tadi di Elysium Hall, Kuala Terengganu Drawbridge.

Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB dan Encik Kelvin Chua, Pengarah Urusan Ganu Motor, dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB.

Turut hadir sama memberikan sokongan pada majlis ini ialah Yang Berhormat Mohd Fadhli Rahmi bin Zulkkifli, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah TFCSB., Yang Berbahagia Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc merangkap Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Pegawai serta pemain-pemain pasukan Terengganu FC.

Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim merakamkan penghargaan kepada Ganu Motor atas sokongan yang diberikan serta menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada Ganu Motor kerana tampil memberikan sokongan serta penajaan kepada pasukan Terengganu FC. Sokongan ini bukan sahaja membuktikan komitmen Ganu Motor terhadap pembangunan sukan bola sepak Terengganu, bahkan juga melambangkan rasa kebersamaan dalam mengangkat martabat pasukan kita di peringkat nasional dan di pentas antarabangsa.

Kerjasama strategik ini diyakini akan memberikan impak positif dalam memperkukuhkan lagi jenama Terengganu FC serta membuka peluang sinergi bersama sektor korporat dalam usaha menjadikan bola sepak Terengganu lebih berdaya saing. Ganu Motor adalah penaja utama bagi cabutan bertuah bagi perlawanan East Coast Derby pada Jumaat ini dengan menyediakan sebuah motorsikal Aveta Nova 160. Cabutan akan dibuat melalui keratan tiket perlawanan selepas tamat perlawanan.