ULASAN PERLAWANAN LIGA SUPER KL CITY FC vs TFC

Perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 menemukan Kuala Lumpur City FC menentang Terengganu FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada petang ini.

Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan, melakukan sedikit perubahan taktikal selepas kehilangan khidmat Akhyar Rashid yang mengalami kecederaan ketika menentang Melaka FC tempoh hari. Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar lebih berdisiplin, tidak melakukan kesilapan mudah serta sentiasa fokus berdepan pasukan tuan rumah yang berkedudukan kedua dalam Liga Super Malaysia musim ini.

Sepak mula menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan percubaan awal daripada Careca berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah. Beberapa peluang terhidang untuk kedua-dua pasukan, namun tidak berjaya disudahkan. Perlawanan terpaksa dihentikan sementara pada minit ke-35 akibat hujan lebat yang membasahi padang.

Selepas permainan bersambung, Terengganu FC memperoleh sepakan penalti, namun sepakan Careca berjaya ditepis cemerlang oleh penjaga gol KL City. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan tanpa jaringan, KL City FC 0–0 Terengganu FC.

Memasuki babak kedua, keadaan padang yang becak menyukarkan rentak permainan kedua-dua pasukan. Seterusnya Terengganu FC melakukan pertukaran dengan memasukkan Kalaif Naskam bagi menggantikan Mohammad Baqiuddin. Namun, kelebihan berpihak kepada tuan rumah apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 yang berjaya disempurnakan oleh Paulo Josue.

Terengganu FC cuba bangkit mencari gol penyamaan, tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil dab perlawanan berakhir dengan kemenangan tipis buat Kuala Lumpur City FC, 1–0 ke atas Terengganu FC.