EAST COAST DERBY BAKAL GEGAR STADIUM SULTAN MIZAN

Pertembungan yang dinantikan peminat bola sepak pantai timur bakal berlangsung pada 3 Oktober 2025 apabila Terengganu FC menentang musuh setempat, Kelantan The Real Warrior, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Perlawanan yang dikenali sebagai “East Coast Derby” ini sentiasa menjadi medan tumpuan, bukan sahaja kerana perseteruan bersejarah kedua-dua pasukan dari kedua negeri ini, malah turut menjanjikan aksi penuh dramatik di atas padang. Dengan jangkaan lebih 10,000 orang penyokong bakal membanjiri stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Bagi menambah kemeriahan, pihak kelab turut menganjurkan cabutan bertuah eksklusif untuk para penyokong yang membeli tiket perlawanan secara fizikal dan online. Bagi pembeli tiket Online mereka perlu menebus kupon cabutan di TFC Direct pada hari perlawanan. Hadiah utama berupa sebuah motosikal Aveta Nova yang ditaja khas oleh penaja Ganu Motor, selain pelbagai barangan elektrik menarik menanti peminat bertuah pada malam perlawanan nanti.

𝐓𝐢𝐤𝐞𝐭 𝐌𝐮𝐥𝐚 𝐃𝐢𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐄𝐬𝐨𝐤 :

Tiket perlawanan akan mula dijual esok iaitu pada 24 September 2025 (Rabu). Menariknya, penyokong berpeluang menikmati harga istimewa RM15.00 sekiranya membuat pembelian awal pada Rabu dan Khamis (24 & 25 September) berbanding harga asal tiket perlawanan iaitu RM20.00.

Lebih menguntungkan, tawaran harga ini kekal sehingga hari perlawanan bagi pemegang TFC Membership Card, sebagai penghargaan khas buat ahli setia kelab. Sementara itu, bagi penyokong bukan ahli, harga tiket akan dikembalik kepada RM20.00 mulai Jumaat (26 September) sehingga hari perlawanan. Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah pula diberikan masuk percuma, sekali gus memberi peluang kepada keluarga untuk sama-sama menikmati suasana meriah di stadium.

Dengan tarikan tiket berpatutan, hadiah cabutan bertuah lumayan, serta kehangatan pertemuan dua musuh tradisi Pantai Timur, East Coast Derby kali ini dijangka menjadi antara perlawanan paling meriah dalam kalendar Liga Super musim ini.