Ulasan Perlawanan Terengganu FC Melawan Melaka FC
Pertembungan Liga Super Malaysia 2025/2026 menyaksikan pasukan tuan rumah, Terengganu FC, melayan kunjungan Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan, menegaskan bahawa beliau tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan meskipun mereka baru sahaja mengalami kekalahan dalam saingan Piala FA menentang Penang FC. Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar tidak melakukan kesilapan mudah serta kekal fokus untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Sejurus sepak mula, kedua-dua pasukan berusaha mencari rentak bagi mencipta peluang awal, namun buntu sepanjang 15 minit pertama. Terengganu FC akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-30 apabila hantaran lintang Azam Azmi berjaya disudahkan oleh Yann Mabella untuk gol pertama tuan rumah. Tiga minit kemudian, Akhyar Rashid melakukan hantaran cantik kepada Nurillo Tukhtasinov yang tenang menyempurnakan peluang bagi jaringan kedua TFC.
Kesilapan pertahanan Melaka FC dalam kotak penalti pada minit ke-40 dihukum oleh Careca, menjadikan kedudukan 3-0. Empat minit masa tambahan babak pertama dimanfaatkan sepenuhnya oleh TFC selepas hantaran kemas Gabriel Silva disempurnakan oleh Yan Mabella untuk gol keduanya, menutup separuh masa pertama dengan kedudukan Terengganu FC 4-0 Melaka FC.
Memasuki babak kedua, TFC melakukan pertukaran dengan memasukkan Engku Shakir menggantikan Akhyar Rashid. Melaka FC cuba mencari gol saguhati, namun barisan pertahanan tuan rumah kekal berdisiplin dan berjaya mengekang asakan lawan.
Badrul Afzan kemudian memperkemaskan bahagian tengah dengan memasukkan Saiful Jamaluddin menggantikan Akram Mahinan, sebelum melakukan pertukaran terakhir pada baki 15 minit permainan dengan mengeluarkan Yan Mabella dan memasukkan penyerang, Junior Stephen.
Beberapa peluang tambahan berjaya dicipta oleh TFC, namun gagal disudahkan dengan baik. Perlawanan berakhir dengan keputusan penuh Terengganu FC 4-0 Melaka FC, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat skuad Penyu di laman sendiri.