TERENGGANU FC DAN PERSIJA JAKARTA ADAKAN PERBINCANGAN BAGI MENJALIN KERJASAMA STRATEGIK

Pengurusan Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai, bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan bin Mohd Zain, telah mengadakan sesi pertemuan dengan pihak pengurusan Persija Jakarta dari Indonesia yang diketuai oleh Presiden kelab, M. Prapanca, serta Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas, di Jakarta pada Selasa.

Pertemuan ini membincangkan pelbagai aspek pembangunan bola sepak serta potensi kolaborasi antara kedua-dua kelab, termasuk pembangunan bakat pemain muda, program pertukaran kepakaran kejurulatihan, penganjuran perlawanan persahabatan antarabangsa, serta peluang komersial yang dapat memberi manfaat bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, menjelaskan bahawa kolaborasi ini perlu dilihat sebagai lembaran baharu dalam bola sepak tempatan, kerana ia bukan sahaja melibatkan nilai komersial kelab, malah turut menekankan nilai persahabatan antara kedua-dua negara.

Perjumpaan ini bukan sahaja membina jambatan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia yang mampu memberi impak besar terhadap pembangunan bola sepak serantau, tetapi juga berpotensi menambah nilai komersial kelab.

Sementara itu, Presiden Persija Jakarta, M. Prapanca, melahirkan rasa gembira dengan pertemuan ini dan berharap kerjasama antara kedua-dua kelab dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Kami sangat menghargai pertemuan ini. Ia bakal membuka ruang yang lebih luas untuk pertukaran pengalaman, memajukan bakat muda, serta menyatukan komuniti bola sepak ASEAN pada masa akan datang,” katanya.

TFCSB percaya bahawa pertemuan ini akan menjadi landasan kukuh dalam memperluaskan jaringan antarabangsa kelab, selain mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia melalui bola sepak.

Pihak pengurusan TFCSB juga amat berbesar hati dengan sambutan positif yang diberikan oleh Persija Jakarta dan yakin sinergi antara kedua-dua kelab mampu memberi nilai tambah, bukan sahaja dari aspek teknikal bola sepak, malah dalam pembangunan menyeluruh ekosistem bola sepak.