Ulasan Perlawanan Terengganu FC Melawan Imigresen FC

Terengganu FC melangkah ke suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Imigresen FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Skuad tuan rumah yang ketinggalan secara agregat selepas tewas 1-2 di Stadium Batu Kawan bangkit garang apabila Junior Stephen Ngong membuka jaringan pada minit ke-17 sebelum Akhyar Rashid menambah gol kedua pada minit ke-31. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 2-0 memihak kepada Terengganu FC.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC terus menekan lawan dan sekali lagi Akhyar Rashid berjaya meledak gol pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Beberapa pertukaran pemain dilakukan dengan kemasukan Yann Mabella, Khalaif Naskam, Ubaidullah, Safwan Mazlan dan Saiful Jamaluddin bagi memperkemaskan corak permainan sehingga tamat perlawanan.

Keputusan penuh menyaksikan Terengganu FC menang 3-0 sekaligus melangkah ke suku akhir dengan agregat 4-2 ke atas Imigresen FC.