TERENGGANU FC TERIMA JEMPUTAN KEJOHANAN ANTARABANGSA DI THAILAND

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berbesar hati menerima jemputan dari Songkhla Provincial Administrative Organization untuk menyertai perlawanan antarabangsa di Stadium Tinsulanonda, Songkhla dari 10 hingga 12 Oktober 2025. Selain pasukan Terengganu FC, turut mengambil bahagian dalam perlawanan amal ini adalah Songkhla FC, Buriram United dan BG Pathum FC sekaligus memberikan pendedahan antarabangsa buat skuad kendalian Badrul Afzan Razali ini.

Untuk perlawanan tersebut pasukan Terengganu FC akan menentang pasukan Songkhla FC dan Buriram United FC bakal menentang pasukan BG Pathum FC pada hari tersebut. Perlawanan amal ini bertujuan untuk sebagai tanda persahabatan selain meningkatkan minat penduduk tempatan terhadap bola sepak serta menggalakkan lebih ramai individu menyertai acara sukan bagi meningkatkan kesihatan dan gaya hidup penduduk di Wilayah Songkhla. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berbangga dengan jemputan ini dan gembira kerana selain dapat menimba pengalaman bertemu kelab- kelab negara jiran, Terengganu FC turut sama dapat menyumbang kepada ekosistem sukan buat penduduk setempat. “Ini adalah satu penghargaan dan penghormatan buat Terengganu FC kerana penglibatan kelab di peringkat Asia dan Asean sebelum ini berjaya membuka mata pasukan negara jiran akan kualiti yang ada pada skuad kami.

“Selain itu, pihak kami juga berbesar hati kerana semua kutipan dari perlawanan ini akan disalurkan untuk pembelian barangan sukan buat sekolah-sekolah yang memerlukan selain membantu aktiviti sukan masyarakat setempat, ” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Songkhla Provincial Administrative Organization, Suphit Phithaktham menjelaskan pihaknya berharap kehadiran Terengganu FC ke Wilayah Songkhla dapat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara terutama dari sudut bola sepak dan sukan. “Kami sejujurnya berharap penyertaan Terengganu FC akan membantu meningkatkan hubungan budaya dan sukan antara kedua-dua negara. “