ICE POWER DAN TERENGGANU FC JALIN KERJASAMA PENAJAAN MUSIM 2025/26

Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Ice Power dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Ogos 2025 bertempat di Bilik Sidang Media, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Majlis ini menandakan satu langkah penting dalam menjalin kerjasama strategik antara TFCSB dan Ice Power, jenama produk kesihatan antarabangsa yang berasal dari Finland.

Penajaan ini disalurkan menerusi Synteq Medical Sdn. Bhd, pengedar rasmi produk Ice Power di Malaysia. Dalam perjanjian tersebut, TFCSB dan ICE POWER telah menandatangani dalam bentuk pakej Bronze yang merangkumi dalam bentuk tunai dan perkhidmatan iaitu bekalan produk Ice Power yang akan dimanfaatkan kepada pemain-pemain Terengganu FC.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. Turut hadir ialah Encik Daniel Lee selaku Ketua Pegawai Eksekutif Synteq Medical dan Encik Haridheren, Ketua Pegawai Eksekutif Pro Skill Leverage Sdn Bhd, serta Encik Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB.

Dalam ucapan pembukaannya, YB Ustaz Hishamuddin menzahirkan rasa penghargaan kepada pihak penaja atas kepercayaan yang diberikan kepada TFCSB. Beliau turut menekankan bahawa penajaan ini bukan sahaja memberi manfaat kewangan, tetapi juga menyumbang kepada aspek kesihatan dan kebajikan atlet yang menjadi keutamaan dalam pembangunan sukan negeri. Menurut beliau, kemasukan Ice Power ke dalam ekosistem penajaan Terengganu FC ini juga diharapkan dapat memberi impak positif dan signifikan, bukan sahaja dari sudut sokongan prestasi pasukan, malah dari sudut komersial dan reputasi kelab.

Sementara itu, Encik Haridheren selaku wakil Ice Power memberi perkongsian Produk ICE Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland, serta kejohanan badminton antarabangsa Arctic Open yang dianjurkan oleh Badminton Finland. Ini membuktikan kepercayaan dunia sukan terhadap keberkesanan produk ini serta menarik minat pihak kami untuk menaja pasukan Terengganu FC.

Dengan termeterainya perjanjian ini, TFCSB kini berada dalam landasan yang lebih kukuh untuk terus mencipta kejayaan dalam kancah bola sepak tanah air, disokong oleh penajaan strategik daripada jenama antarabangsa seperti Ice Power.