Ulasan Perlawanan Imigrisen FC Melawan Terengganu FC
Pertembungan Pusingan 16 Piala FA 2025 menyaksikan Imigresen FC menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bagi aksi pertama timbal balik.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan, melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama selepas pemain import Gabriel Silva tidak dapat diturunkan akibat kecederaan. Saiful, Engku Shakir, Baqiuddin dan Syed Nasrulhaq menjadi antara pemain tempatan yang diberi tanggungjawab, manakala pemain import lain dikekalkan dalam kesebelasan utama.
Permulaan perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah cuba mencuri peluang awal, namun penjaga gol Terengganu FC, Syed Nasrulhaq bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut. Terengganu hampir membuka tirai jaringan selepas hantaran kemas Engku Shakir menemui Yan Mabella, namun jaringan dibatalkan akibat kekasaran yang dilakukan dalam situasi tersebut.
Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan meskipun beberapa percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Separuh Masa Pertama: Imigresen FC 0 – 0 Terengganu FC
Separuh masa kedua bermula lebih rancak dan tidak mengambil masa lama untuk Terengganu FC membuka tirai jaringan menerusi Yan Mabella pada minit ke-49. Namun, kelebihan itu hanya bertahan selama lima minit sebelum pemain import Imigresen FC, Rafael, menyamakan kedudukan pada minit ke-54.
Pasukan Terengganu FC kemudian melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Akhyar Rashid dan Junior Sam menggantikan Baqiuddin dan Engku Shakir, bagi menambah tenaga baharu dalam jentera serangan.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, pemain import Imigresen FC, Joao Pedro, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sekaligus memberikan kelebihan jaringan kepada pasukan tuan rumah menjelang aksi timbal balik.
Keputusan penuh: Imigresen FC 2 – 1 Terengganu FC
Namun begitu, perjuangan belum berakhir. Terengganu FC masih berpeluang membalikkan keadaan apabila akan menerima kunjungan Imigresen FC dalam aksi timbal balik yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.