Ulasan Perlawanan DPMM FC Melawan Terengganu FC
Terengganu FC bakal beraksi dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 dengan bertandang ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi menentang pasukan DPMM FC.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan, melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan ini. Antara pemain yang bakal diturunkan ialah Akram Mahinan, Suhaimi Husin dan Safwan Mazlan, di samping mengekalkan sebahagian besar pemain utama yang lain.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kemampuan anak-anak buahnya dan menekankan kepentingan untuk meraih tiga mata penuh dalam aksi ini bagi terus mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.
Terengganu FC memulakan perlawanan dengan tekanan tinggi sebaik sahaja wisel sepak mula ditiup. Hasilnya, mereka berjaya mencipta jaringan terpantas apabila Careca menyempurnakan peluang seawal minit pertama, hanya selepas 11 saat permainan bermula.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit mengatur gerakan untuk mencari gol penyamaan, namun usaha tersebut digagalkan oleh barisan pertahanan Terengganu FC yang kukuh dan berdisiplin. Terengganu FC kemudian menggandakan kelebihan mereka apabila Nurillo Tukhtasinov meledak gol kedua pada minit ke-16 menerusi satu rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Walaupun DPMM FC tidak berputus asa dan terus mencuba menembusi benteng pertahanan lawan, kecekapan empat pertahanan Terengganu FC menyukarkan usaha mereka. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-0 memihak kepada Terengganu FC.
Memasuki separuh masa kedua, DPMM FC tampil lebih agresif dan hampir merapatkan jurang melalui satu percubaan penyerang mereka, namun dinafikan oleh penjaga gol, Suhaimi Husin, yang cemerlang menepis keluar bola.Terengganu FC terus mencari gol tambahan tetapi beberapa peluang yang diperoleh gagal disempurnakan. Ketua jurulatih, Badrul Afzan, melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Khalai’f Naskam, Engku Shakir dan Saiful Jamaluddin bagi menggantikan Akhyar Rashid, Akram Mahinan dan Mohamad Baqiuddin.
Pada minit ke-73, Terengganu FC dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan DPMM FC di dalam kotak penalti. Careca dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga pasukan.Beberapa minit kemudian, satu lagi pertukaran dilakukan apabila Alif Zakaria masuk menggantikan Careca. Pertukaran ini membuahkan hasil apabila Yan Mabella berjaya menjaringkan gol keempat selepas memanfaatkan ruang dalam kotak penalti pada minit ke-84.Pertukaran terakhir menyaksikan Syahmi Zamri dimasukkan dan beliau tidak mensia-siakan peluang apabila menambah jaringan kelima pada masa tambahan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan DPMM FC 0 – 5 Terengganu FC, sekali gus menyaksikan pasukan Terengganu FC membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah dalam kempen Liga Super Malaysia 2025/2026.