KLINIK WILDAN RAKAN KESIHATAN RASMI TERENGGANU FC

Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Klinik Perubatan Wildan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu malam tadi.

Majlis menandatangani MoU ini menyaksikan kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuhkan aspek penjagaan kesihatan dan kecergasan pemain-pemain serta pegawai pasukan Terengganu FC bagi musim yang akan datang.

Dokumen persefahaman ini telah ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Encik Mohd Syahrizan bin Mohd Zain, bersama Dr Mujahid Sabri bin Mohd, Ahli Lembaga Pengarah Klinik Perubatan Wildan. Turut menyaksikan majlis menandatangani ini ialah Yang Berhormat Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, serta Dr Wan Md Syazani Al Faruki bin Wan Mazlan, Ahli Lembaga Pengarah Klinik Perubatan Wildan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, Klinik Wildan tampil sebagai Official Health Partner kepada TFCSB dan menyumbangkan pelbagai bentuk sokongan in-kind dengan nilai keseluruhan mencecah RM155,000.00, merangkumi Peralatan fisioterapi, Ubat-ubatan, Beg rawatan kecemasan (First Aid Kit), Pemeriksaan kesihatan percuma, Khidmat panel penjagaan kesihatan kepada pemain dan pengurusan menjadikan kerjasama ini secara rasmi melalui pakej penajaan ini.

Kerjasama ini turut mendapat sambutan hangat daripada para pemain Terengganu FC yang turut hadir dalam majlis berkenaan, menandakan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan profesional bagi memastikan prestasi optimum di dalam dan luar padang.

Pengerusi TFCSB dalam satu kenyataan turut menyatakan ini adalah satu lagi langkah signifikan dalam jalinan hubungan strategik antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu. Pakej ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut penjenamaan, tetapi juga meluaskan jaringan promosi Klinik Perubatan Wildan melalui platform rasmi dan aktiviti kelab sepanjang musim.

Kerjasama ini juga dijangka memberi impak yang signifikan terhadap prestasi dan kesejahteraan pemain dalam jangka masa panjang, sejajar dengan visi TFCSB untuk terus melangkah ke hadapan sebagai kelab bola sepak yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau.