TRA HOLIDAYS PENAJA BAS RASMI TERENGGANU FC
Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) hari ini memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat perkhidmatan pengangkutan, TRA Holidays Sdn Bhd dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna yang diadakan di Bilik Media TFCSB, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh struktur logistik dan mobiliti pasukan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2025/2026. TRA Holidays secara rasmi diumumkan sebagai rakan penaja kategori Silver serta penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi TFC untuk tempoh lima (5) musim akan datang yang turut mengesahkan penggunaan rasmi bas TRA sehingga musim 2029/2030.
Kerjasama strategik ini bakal memberi impak besar kepada kelancaran operasi pasukan, di samping meningkatkan keterlihatan jenama TRA Holidays Sdn. Bhd. di seluruh negara. Menariknya, TRA Holidays juga merupakan penaja logistik kepada pasukan Penang FC, lawan pertama TFC dalam perlawanan pembukaan Liga Malaysia yang dijadualkan pada 10 Ogos 2025.
Kerjasama ini bukan sahaja menyokong aspek teknikal bola sepak negeri, malah turut memperkukuh aspek sokongan logistik yang sangat penting dalam era bola sepak profesional masa kini. Pihak pengurusan TFC percaya dengan komitmen syarikat seperti TRA Holidays Sdn. Bhd., pasukan mampu berkembang bukan sahaja dari sudut prestasi di padang, tetapi juga dari aspek profesionalisme, jenama serta pengurusan kelab secara menyeluruh.
TFC merakamkan penghargaan kepada TRA Holidays Sdn. Bhd. atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan, dan berharap hubungan ini akan terus utuh serta membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.