DIEGO LANDIS SAH TANDATANGANI KONTRAK BERSAMA TERENGGANU FC BAGI MUSIM 2025/2026

Terengganu Football Club (TFC) secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Diego Landis, yang telah menandatangani kontrak bersama skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026. Pemain kelahiran Brazil ini akan memperkuatkan barisan pertahanan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Badrul Afzan Razali.

Landis, 28, merupakan seorang pertahanan tengah yang memiliki pengalaman luas di peringkat kelab Asia, termasuk pernah beraksi bersama kelab dalam Thai League. Sebelum menyertai TFC, beliau beraksi bersama Khon Kean United FC di Thailand dan dikenali dengan gaya permainan yang tenang, disiplin serta kekuatan dalam pertarungan udara dan laju dalam membuat larian semasa bertahan.

Pemain yang memiliki ketinggian 195 cm ini tiba di Malaysia beberapa hari lalu dan telah lulus pemeriksaan kesihatan serta ujian kecergasan di Kuala Lumpur. Hari ini menandakan hari kedua beliau di Terengganu untuk berkenalan lebih dekat dengan pasukan dan pengurusan kelab.

Dalam temubual bersama media kelab, Landis menyatakan beliau tidak menunggu lama dan tidak berfikir dua kali apabila menerima surat tawaran dari Terengganu FC kerana beliau tahu kelab ini antara kelab besar di Malaysia. Beliau juga menyatakan beliau tahu kelab ini mempunyai penyokong yang sangat fanatik dan ini membuatkannya tidak sabar untuk bermain di hadapan mereka.

Dengan kehadiran Diego Landis, Terengganu FC kini memiliki lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah, terutama selepas perpindahan beberapa pemain utama pada penghujung musim lalu. Kehadirannya dijangka akan memberikan kestabilan dan ketenangan di barisan belakang, sekaligus memperbaiki rekod pertahanan TFC yang menjadi tumpuan musim lepas.

Landis akan memulakan sesi latihan kecergasan bermula minggu ini, dan penyokong dijangka dapat melihat Landis beraksi buat kali pertama dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang akan diadakan menjelang musim baharu bermula.