TERENGGANU FC KE KOTA BHARU UNTUK PERLAWANAN PERSAHABATAN MENENTANG KELANTAN RED WARRIOR
Pasukan Terengganu FC akan berangkat ke Kelantan esok bagi perlawanan persahabatan menentang Kelantan Red Warrior (KRW). Perlawanan tersebut akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 9.00 malam. Perlawanan ini dilihat mampu membantu meningkatkan kecergasan para pemain bagi persediaan siri perlawanan pra musim yang dijangka akan bermula pada 8 Julai 2025.
Beberapa pemain import Terengganu FC yang baru tiba dan baru menjalani latihan tidak akan diturunkan dalam perlawanan ini. Pemain-pemain ini dijangka akan diturunkan dalam aksi perlawanan persahabatan menentang satu lagi pasukan dari Liga Super Malaysia, Penang FC pada 8 Julai ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Perlawanan menentang Penang FC ini dijangka bakal dihadiri ribuan penyokong yang ingin melihat pemain-pemain baru Terengganu FC disamping dilihat sebagai sebuah perlawanan yang membawa aura ‘kubu’ lama pasukan Terengganu kerana dilangsungkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Perlawanan diadakan di stadium tersebut kerana stadium rasmi Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kini sedang dalam proses kerja-kerja penyelenggaraan. Perlawanan menentang Penang FC ini dilihat adalah sebagai perlawanan pembukaan sebelum Terengganu FC menjalankan siri pertama jelajah pra musim ke Kuala Lumpur.