PENDAFTARAN PAS BERMUSIM TERENGGANU FC AKAN DIBUKA PADA MALAM INI

Kehadiran 2 orang lagi pemain import yang dijangka tiba pada minggu ini bakal melengkapkan sepenuhnya 6 orang pemain import Terengganu FC secara keseluruhan. Sebelum ini, Terengganu FC telah mengumumkan 3 pemain import dan 2 orang pemain tempatan telah rasmi menandatangani kontrak untuk bersama pasukan pada musim ini. Pemain yang bakal tiba ini adalah pemain yang bakal beraksi di bahagian pertahanan dan juga seorang lagi yang akan beraksi di posisi tengah pasukan.

Terengganu FC juga akan mula membuka pendaftaran pas bermusim dengan memperkenalkan 6 pilihan harga buat penyokong bermula malam ini. Antara pembaharuan yang dibuat dalam pilihan pakej pas bermusim kali ini adalah penyokong boleh memilih pakej kad untuk mendapat tambahan barangan eksklusif Terengganu FC atau hanya mendaftar pakej untuk akses masuk ke stadium sepanjang musim dengan harga berbeza. Sepertimana musim lepas, Terengganu FC telah memperkenalkan sistem pembayaran melalui Atome iaitu penyokong boleh membuat pembayaran ansuran pada setiap bulan tanpa perlu membayar jumlah penuh untuk satu kali pembayaran. Cara ini dilihat banyak membantu para penyokong yang ingin mendaftar pakej Gold Pass pada musim lepas.

Antara yang diketengahkan dalam pakej pemilihan ini, bagi yang mendaftar sebagai pemegang Gold Pass, mereka akan menikmati pelbagai kemudahan termasuk kemasukan melalui pintu VIP (Grandstand), memberikan kelebihan khas kerana mereka tidak perlu beratur panjang untuk kemasukan. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan kemudahan tandas serta surau VIP yang terdapat di Tingkat 4 dimana tempat duduk pemegang pas ini berada. Selain itu, mereka boleh membeli makanan dan minuman di TFC LAB iaitu café khas di Tingkat 4 ini dengan tempat duduk lebih selesa sambil menunggu perlawanan atau semasa rehat perlawanan. Mereka juga boleh mendapatkan barangan merchandise di kiosk TFC Direct yang juga berada di ruang legar VIP Tingkat 4. Sepertimana musim lepas, setiap pendaftar Gold Pass akan mempunyai tempat duduk khas bernombor yang pastinya memberikan keselesaan buat mereka. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk bertemu para pemain yang turun atau naik bas pasukan untuk bergambar dan mengambil tandatangan pemain tersebut. Gold Pass ini hadir dengan tiga pilihan iaitu Gold Pass Elite, Gold Pass Classic dan juga Gold Pass Starter.

Pakej Black And White jika musim lepas hanya ada 1 pilihan harga sahaja iaitu RM450 beserta barangan. Kali ini ianya juga hadir dengan beberapa pilihan harga yang jauh lebih murah yang semestinya memberikan banyak pilihan buat para penyokong. 2 pilihan Black & White Pass adalah Black&White Elite, Black&White Classic dan Black&White Starter. Jualan pas dan penerangan pakej penuh akan diumumkan pada malam ini dan tarikh pendaftaran ini dibuka adalah bermula 5 Julai sehingga 25 Julai 2025.