PENGENDALI BARU PASUKAN TERENGGANU FC AKAN DIUMUMKAN DALAM MASA TERDEKAT

Terengganu FC akan membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu pasukan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027. Pelantikan tersebut merupakan antara agenda utama kelab dalam merangka hala tuju baharu pasukan yang lebih tersusun dan mampan menjelang musim baharu.

Pemilihan pengendali baharu ini dibuat selepas melalui proses penilaian yang teliti bagi memastikan individu yang dilantik memiliki falsafah serta visi yang selari dengan perancangan jangka pendek dan jangka panjang kelab. Kehadiran ketua jurulatih baharu itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan struktur pasukan serta membentuk skuad yang lebih kompetitif dalam menghadapi cabaran musim akan datang.

Selain aspek teknikal, Terengganu FC turut memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan secara menyeluruh termasuk penstrukturan semula beberapa bahagian operasi, pengukuhan identiti permainan serta pembangunan pemain-pemain sedia ada dan bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, sesi latihan rasmi pasukan dijadualkan bermula pertengahan Julai sebagai persediaan menghadapi kempen pra-musim. Tempoh pra-musim ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina kecergasan pemain, memperkukuhkan keserasian pasukan serta memberi ruang kepada barisan kejurulatihan baharu untuk menerapkan corak permainan dan pendekatan yang diinginkan.

Pihak kelab akan terus berkongsi perkembangan terkini berkaitan pelantikan ketua jurulatih, pembentukan skuad serta perancangan pra-musim dari semasa ke semasa menerusi platform rasmi Terengganu FC. Penyokong juga diseru untuk terus memberikan sokongan padu dan mengikuti segala pengumuman rasmi yang akan dibuat dalam tempoh terdekat. Musim 2026/2027 bakal menjadi titik permulaan kepada fasa baharu Terengganu FC dalam usaha membina semula kekuatan kelab dengan pendekatan yang lebih berhemah, realistik dan mampan demi memastikan kestabilan serta daya saing pasukan untuk jangka masa panjang.