Ulasan Perlawanan Sabah FC Melawan Terengganu FC

Perlawanan terakhir Liga Super Malaysia 2025/2026 menyaksikan pasukan Terengganu FC bertemu pasukan tuan rumah, Sabah FC di Stadium Likas malam ini. Kedua-dua pasukan pastinya mahu menamatkan saingan musim ini dengan keputusan terbaik. Terengganu FC terpaksa beraksi tanpa beberapa pemain utama seperti Careca dan Akhyar Rashid dan beberapa pemain yang lain sedikit merencatkan perancangan ketua jurulatih, Tengku Hazman. Walau bagaimanapun, beliau tetap yakin dengan pemain yang ada untuk mempersembahkan aksi terbaik menentang pasukan tuan rumah.

Sepak mula perlawanan menyaksikan beberapa percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan, namun gagal menghasilkan jaringan awal. Terengganu FC mula meningkatkan tempo permainan menerusi beberapa serangan berbahaya ke kubu Sabah FC. Peluang terbaik hadir menerusi Yann Mabella, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Keadaan padang yang becak turut memberi sedikit kesukaran dan cabaran kepada kedua-dua pasukan untuk mencipta peluang yang lebih berkualiti. Walaupun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, keputusan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu FC melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk Baqiuddin bagi menggantikan Kyaw Min Oo. Pasukan pelawat terus berusaha mencari peluang jaringan, namun Yann Mabella sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Terengganu FC di hadapan.

Terengganu FC kemudian melakukan satu lagi pertukaran pemain apabila Shervoni dibawa masuk menggantikan Kastaneer. Percaturan yang dilakukan Tengku Hazman akhirnya membuahkan hasil apabila Shervoni berjaya menjaringkan gol pertama buat Terengganu FC pada minit ke-80.

Memasuki baki 10 minit terakhir perlawanan, Terengganu FC memperkukuhkan jentera tengah dengan membawa masuk Saiful Jamaluddin bagi menggantikan Akram Mahinan untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dengan Terengganu FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia 2025/2026 sekali gus mengekalkan kedudukan di tangga kelima liga untuk menutup tirai musim ini.