TERENGGANU FC PERKUKUH BAHAGIAN TENGAH DENGAN KEHADIRAN MUHAMMAD FAIZ BIN MAZLAN
Terengganu Football Club (Terengganu FC) dengan sukacitanya mengumumkan penyertaan pemain tengah menyerang tempatan, Muhammad Faiz bin Mazlan, sebagai sebahagian daripada skuad bagi menghadapi saingan musim 2026/2027. Pemain berusia 29 tahun itu sah mengikat kontrak selama satu musim sehingga 31 Mei 2027, sekali gus memperkukuhkan lagi pilihan pasukan di bahagian tengah menjelang musim baharu.
Kehadiran Faiz dijangka mampu menambah dimensi kepada corak permainan Terengganu FC menerusi kreativiti, visi permainan serta kebolehannya menggerakkan jentera serangan dari bahagian tengah. Pengalaman yang dimiliki beliau dalam saingan bola sepak tempatan juga diharap dapat memberikan impak positif kepada pasukan sepanjang musim ini.
Mengulas mengenai penyertaannya bersama Terengganu FC, Faiz melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap sesi latihan serta perlawanan. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerja keras bersama barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan dalam usaha membantu Terengganu FC mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi musim 2026/2027.
Seluruh warga Terengganu Football Club mengalu-alukan kehadiran Muhammad Faiz bin Mazlan ke dalam pasukan dan berharap beliau dapat memberikan sumbangan terbaik sepanjang tempoh bersama Terengganu FC.