HABIB HAROON KEMBALI MENGGALAS CABARAN BERSAMA TERENGGANU FC
Terengganu Football Club (Terengganu FC) dengan sukacitanya mengumumkan kepulangan pemain tengah antarabangsa Bahrain, Habib Haroon Haroon Saeed, yang sah kembali menyertai skuad TFC bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak selama satu musim, bermula 1 Julai 2026 hingga 31 Mei 2027, selepas kali terakhir beraksi bersama Kelantan The Real Warriors FC.
Kepulangan Habib ke Terengganu bukanlah sesuatu yang asing apabila beliau pernah menyarung jersi TFC sebelum ini, selain pernah bekerjasama di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain. Pengalaman serta keserasian yang telah terjalin sebelum ini diyakini mampu memperkukuhkan lagi jentera tengah pasukan dalam menghadapi cabaran musim baharu.
Habib turut meluahkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk kembali menyarung jersi Terengganu FC dan bertekad memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Selamat kembali ke bumi Terengganu, Habib Haroon. Semoga kepulangan anda menjadi pemangkin kepada kejayaan Terengganu FC pada musim 2026/2027.