Ulasan Perlawanan Melaka FC Melawan Terengganu FC

Aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 menyaksikan Terengganu FC bertandang ke Stadium Hang Tuah untuk menentang tuan rumah, Melaka FC.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan, melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama dengan menampilkan pemain sayap Baqiuddin sebagai tonggak utama, sambil mengekalkan barisan pemain lain bagi memastikan kestabilan pasukan.

Seawal sepak mula, kedua-dua pasukan cuba mencari rentak permainan dan memburu jaringan awal. Peluang terbaik Terengganu hadir menerusi Akhyar Rashid, namun percubaannya berjaya dipatahkan pertahanan Melaka FC. Terengganu FC terus menguasai permainan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila hantaran kemas Kastaneer disudahkan dengan tenang oleh Akhyar Rashid untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Melaka FC cuba merapatkan jurang jaringan, namun disiplin tinggi barisan pertahanan Terengganu memastikan keputusan kekal 1-0 memihak pelawat sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, tuan rumah tampil lebih agresif dan berhati-hati dalam usaha mengelak dibolosi lagi. Terengganu hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-58 menerusi larian Ehson Panjshanbe yang melakukan sungkitan menarik menewaskan penjaga gol Sam Somerville, namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas Baqiuddin dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Melaka FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi jaringan Kalesic yang memanfaatkan peluang di hadapan gol. Namun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Terengganu FC kembali di hadapan empat minit kemudian. Baqiuddin melepaskan rembatan tepat pada minit ke-77 untuk menjadikan kedudukan 2-1 memihak pasukan Terengganu FC.

Terengganu FC kemudian melakukan beberapa pertukaran bagi memperkemaskan jentera serangan serta mengawal tempo permainan. Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Terengganu FC membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Melaka FC di halaman sendiri.