Ulasan Perlawanan Terengganu FC Melawan Kuala Lumpur City FC

Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/2026 menyaksikan pasukan Terengganu FC bertemu Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan status tuan rumah memihak kepada Terengganu FC.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman, mengekalkan sebahagian besar tonggak utama pasukan namun terpaksa melakukan satu perubahan di posisi pertahanan apabila Safwan Mazlan tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan sebelum ini. Tempat beliau digantikan oleh Sharul Nizam. Tengku Hazman turut mengakui kekuatan pasukan KL City FC yang disifatkan sebagai antara pasukan terbaik dan bukan mudah untuk ditangani, namun beliau tetap percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan malam ini.

Sepak mula perlawanan menyaksikan Terengganu FC tampil agresif dengan memberi tekanan awal kepada pasukan pelawat. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila pada minit ke-15, rembatan jarak jauh Kastaneer berjaya menewaskan penjaga gol KL City FC, Quincy Julian, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada pasukan tuan rumah.

Pasukan pelawat cuba mengatur serangan bagi mencari gol penyamaan, namun disiplin tinggi barisan pertahanan Terengganu FC berjaya mengekang setiap percubaan. Separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan milik Terengganu FC 1-0 KL City FC.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu FC melakukan beberapa pertukaran pemain dengan membawa masuk Baqiuddin, Akram dan Ubaidullah bagi menggantikan Akhyar, Saiful Jamaluddin serta Alif Zakaria. Pasukan tuan rumah terus berusaha menggandakan jaringan, namun satu peluang keemasan menerusi Kastaneer tidak berhasil apabila rembatan beliau sekadar melepasi palang gol.

KL City FC akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-84 menerusi jaringan Nicolao Manuel. Keputusan kekal hingga tamat perlawanan dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/2026.

Terengganu FC seterusnya bakal bertandang bagi aksi suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026.