PEMEGANG TFC MEMBERSHIP MENIKMATI DISKAUN 10% HARGA TIKET DI TFC DIRECT. KANAK-KANAK 12 TAHUN KE BAWAH DIBENARKAN MASUK PERCUMA
Terengganu FC melihatkan kehadiran penyokong bagi perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City Jumaat ini bakal meningkat sehingga 3 ke 4 kali ganda berbanding perlawanan sebelum ini. Selain dari menentang salah sebuah pasukan terkuat di Liga Malaysia pada ketika ini, jangkaan Ini juga dilihatkan kerana perlawanan ini akan dilangsungkan pada hari cuti iaitu hari Jumaat. Dengan menambah promosi buat keluarga iaitu kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah dibenarkan masuk ke stadium secara percuma, ia dilihatkan sebagai ‘added value’ yang bakal memberikan impak besar untuk kedatangan penyokong ke stadium bagi perlawananan ini.
Sepertimana sebelum ini, pemegang TFC Membership Card bakal menikmati potongan harga tiket sebanyak 10% untuk pembelian tiket fizikal di TFC Direct.
Terengganu FC juga telah mengagihkan tiket ke beberapa buah kedai di daerah-daerah yang terpilih untuk jualan kepada penyokong di sana yang ingin mendapatkan tiket fizikal. Ini bagi memudahkan penyokong yang ingin mendapatkan tiket lebih awal. Bagi mereka yang ingin membeli secara atas talian, jualan tiket online juga telah dibuka kepada orang ramai dan jualan hari pertama juga melihatkan sambutan yang sangat baik dari penyokong. Berita ini semestinya memberikan suntikan semangat buat para pemain yang semestinya menginginkan suasana stadium yang penuh kembali di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Bagi mereka, kehadiran penyokong sangat memberikan motivasi terbaik untuk menaikkan semangat mereka semasa beraksi di padang. Aura lontaran suara penyokong yang bersorak cukup untuk memberikan mereka ‘tenaga tambahan’ sekaligus dapat membantu mereka memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit. Keadaan stadium yang penuh sebelum ini pernah dirasai oleh pemain-pemain sedia ada Terengganu FC, tetapi para pemain baru musim ini masih belum merasainya dan mungkin Jumaat ini adalah harinya untuk mereka lihat sokongan sebenar dengan kehadiran para penyokong ke stadium kita.
Terengganu FC juga pada ketika ini sedang bekerjasama dengan pihak penaja kelab untuk membuat aktiviti tambahan untuk para penyokong yang hadir pada hari Jumaat ini.