NAZUL IZAMIL DIPERSIAPKAN UNTUK PERLAWANAN MENENTANG KUCHING CITY FC

Dengan kecederaan yang dialami oleh Rahadiazli dan Syed Nasrulhaq, Terengganu FC kini berdepan kekangan di posisi penjaga gol menjelang pertemuan menentang Kuching City FC pada Jumaat ini. Buat masa ini, hanya dua pemain tersedia untuk menggalas tugas tersebut iaitu Suhaimi Husin dan Nazul Izamil.

Nazul yang sebelum ini masih belum pernah membuat penampilan rasmi bersama skuad utama, berkemungkinan besar akan disenaraikan sebagai penjaga gol kedua. Ini susulan status terkini Syed Nasrulhaq yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dijangka tidak dapat diturunkan.

Nazul adalah antara watak penting buat pasukan Terengganu FC II sebelum ini sebagai penjaga gol utama pasukan itu pada tahun lepas. Pengendali pasukan, Badrul Afzan melihatkan pemain ini juga sudah bersedia untuk beraksi dalam liga tertinggi Malaysia.

Situasi ini menyaksikan TFC perlu bergantung sepenuhnya kepada kombinasi pengalaman Suhaimi serta kesediaan Nazul di bangku simpanan bagi memastikan posisi terakhir pasukan tetap kukuh dalam aksi penting menentang Kuching City FC.