BERITA PASUKAN

RANGKUMAN PERLAWANAN TERENGGANU FC MENENTANG JOHOR DARUL TAKZIM

“Fantastic Display daripada pemain-pemain saya pada malam ini” ringkas jawapan dari Haji Irfan Bakti semasa sidang media selepas perlawanan TFC menentang Johor Darul Takzim semalam. Irfan berpuas hati dengan kesungguhan kesemua pemainnya untuk bangkit dalam perlawanan ini dimana disiplin yang ditampilkan oleh setiap pemain TFC pada malam ini adalah sangat baik.

Pasukan TFC berjaya mendahului seawal minit ke-7 melalui satu gerakan cantik Kipre Tchetche, Lee Tuck dan disudahi dengan jaringan yang dihasilkan oleh Khairul Izuan. Gol pertama ini terus memberikan suntikan semangat buat pasukan ini dan hasilnya TFC berjaya menguasai permainan pada separuh masa pertama disamping berjaya mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol. Walaubagaimanapun momentum ini hampir tersekat setelah pasukan JDT dihadiahkan sepakan penalti namun penyerang JDT, Diogo tidak berjaya menyudahkan sepakan ini dengan baik sekaligus meningkatkan lagi motivasi para pemain TFC. Penjaga gawang TFC yang juga pemain paling senior dalam pasukan ini, Suffian Rahman berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik dengan menggagalkan beberapa percubaan bahaya penyerang lawan.

Bersambung babak kedua, pasukan TFC sekali lagi diuji apabila pengadil sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan dan hasilnya, Safawi Rasid berjaya menyudahkannya dengan baik menjadikan kedudukan 1-1. Pasukan JDT berjaya memperkemas permainan pada separuh masa kedua dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-69 melalui Diogo. Namun begitu, pemain-pemain TFC dilihat semakin dahagakan untuk bangkit, selepas gol kedua daripada pasukan JDT, TFC mula merubah gaya permainan dan kemasukan Malik Ariff , Ashari Samsuddin dan Khairul Anwar berjaya mempertingkatkan kualiti serangan pasukan ini. TFC kembali berjaya mengawal permainan sepenuhnya dan hasilnya, pada minit ke-90, Kamal Azizi berjaya menjaringkan gol penyamaan dan sekali lagi Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bergema dengan sorakang penyokong hitam dan putih. Lee Tuck hampir menjaringkan gol kemenangan TFC, namun sepakan percumanya hanya menggegar tiang gol lawan. Perlawanan ini berkesudahan dengan jaringan 2-2 dimana hanya 1 mata berjaya diperoleh oleh kedua-dua pasukan.

Ditanya berkenaan perlawanan pada malam ini, Irfan Bakti nyata berpuas hati dengan segala usaha pemain-pemainnya, dan Irfan ingin memberikan kredit kepada penyokong pada malam ini yang berjaya menjadikan diri mereka sebagai individu yang berjaya meniup semangat kepada pemain untuk bermain bermati-matian untuk mendapatkan jaringan. Ditanya berkenaan mutu pengadilan, Irfan Bakti menyatakan beliau tidak berminat untuk menjawab soalan itu, hampir 12,000 orang penyokong di stadium menyaksikannya, ianya tidak perlu diulas, dan beliau lebih gembira dengan kebangkitan anak-anak buahnya berbanding 2 perlawanan sebelum ini. Irfan menyatakan beliau yakin TFC akan berjaya mendapatkan mata menentang pasukan Kuala Lumpur FA selepas jika permainan seperti ini ditampilkan.