SHAHRUL NIZAM TANDATANGANI KONTRAK BERSAMA TERENGGANU FC SEHINGGA 2024
Mohamad Shahrul Nizam bin Ros Hasni telah memainkan peranan yang penting pada musim sulung bersama Terengganu FC di bahagian pertahanan tengah setelah berpindah dari pasukan Kelantan. Bermain hampir keseluruhan perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia 2021, beliau sentiasa turun di padang dengan aksi penuh komited bagi mengekang asakan daripada pihak lawan. Mudah untuk diperkatakan bahawa beliau merupakan antara pertahanan tempatan yang konsisten pada musim lalu.
“Saya berasa gembira untuk kekal lebih lama di sini,” ujar beliau ringkas ketika sesi fotografi. Apabila mendapat tahu khidmat saya masih diperlukan di sini, motivasi diri saya semakin meningkat dan bersedia untuk mencurahkan khidmat pada tahap yang lebih tinggi bagi musim ini.
Shahrul Nizam menandatangani kontrak lanjutan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC Sdn Bhd, Encik Mohd Sabri Abas
Shahrul Nizam turut menyatakan, “Musim pertama di sini bukan sesuatu yang mudah ditambah lagi dengan persekitaran baru namun banyak perkara yang saya telah pelajari dan pengalaman-pengalaman yang dikongsi bersama pihak kejurulatihan dan rakan sepasukan banyak membantu perjalanan karier saya di sini.”
Kontrak Shahrul Nizam sepatutnya berakhir pada 2022 setelah perjanjian awal adalah untuk mendapatkan khidmat beliau selama 2 tahun sahaja. Menerusi persetujuan yang dicapai bersama pihak kejurulatihan, pengurusan dan juga komitmen Shahrul Nizam akan mengekalkan beliau dalam projek jangka panjang bersama Terengganu FC sehingga 2024 dengan klausa pelepasan sebanyak RM 500,000.00.
Shahrul Nizam antara pemain muda yang menunjukkan persembahan yang mantap bersama Terengganu FC bagi musim 2021
Shahrul Nizam menganggap perjanjian ini adalah penyuntik semangat baru kepadanya dan beliau akan berikan segalanya untuk Terengganu FC
“Sasaran untuk mencapai 1 piala pada musim lalu hampir dicapai namun tewas diperingkat separuh akhir Piala Malaysia sedikit mengecewakan saya dan rakan sepasukan tetapi dengan bermulanya sesi latihan musim 2022, kami akan sentiasa berusaha untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih baik pada musim ini.” Untuk rekod Shahrul Nizam adalah antara prospek pemain pertahanan masa hadapan bagi pasukan Malaysia.