ULASAN PERLAWANAN TERENGGANU FC vs SABAH FC

Perlawanan ke-16 Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini membabitkan pasukan Terengganu FC dan Sabah FC. Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain membuat sedikit kejutan apabila membuat percaturan dengan memanggil pemain pertahanan Terengganu FC ll iaitu Argzim Redzovic bagi mengemudi lini pertahanan mereka setelah Ketua Pasukan, Charlie De Murga mengalami kecederaan sewaktu bertemu Melaka United FC tempoh hari.

Beliau menegaskan bahawa Pasukan Sabah FC bermain dengan sangat baik sewaktu pertemuan pertama, dan tidak mahu mengulangi perkara yang sama apabila tewas di Stadium Likas dengan jaringan 2-1.

Tepat 9 malam, wisel permulaan ditiup oleh pengadil perlawanan menunjukkan kedua-kedua pasukan bermain dengan sangat berhati-hati untuk misi 3 mata. TFC mendapat peluang seawal pada minit ke-4 apabila percubaan rembatan kencang Faisal Halim tepat ke arah gol namun dinafikan oleh penjaga gol Sabah FC. Tidak lama kemudian, peluang kedua TFC hadir melalui Faiz Nasir akan tetapi lencongan bola tersasar ke tepi padang.

Sekali lagi, peluang kememasan yang diperolehi TFC hadir dari rembatan Derchi Marcell yang sudah menewaskan penjaga gol Sabah FC tetapi dinafikan pula oleh palang gol, ternyata nasib tidak menyebelahi mereka. Tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan buntu mencari bekalan gol untuk separuh masa kedua.

Separuh masa kedua bermula dengan pertukaran pemain daripada TFC dengan membawa masuk Rahmat Makasuf untuk menggantikan tempat Faisal Halim yang dilihat mengalami kecederaan pada separuh masa pertama tadi. Pasukan Sabah FC juga membawa masuk dua pemain gantian, Amri Yahyah dan Samdil Ramdani bagi mengendalikan bahagian tengah dan juga pertahanan. pada minit ke-50 sekali lagi Sabah FC dan TFC membuat pertukaran, iaitu pertukaran yang ketiga di mana TFC menbawa keluar Sharien Sapien dan digantikan dengan ‘super-sub’ mereka iaitu Hakimi Abdullah.

20 minit pada separuh masa kedua berlalu menunjukkan kedua-dua pasukan masih lagi buntu memecahkan jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. TFC membuat percaturan akhir mereka dengan dua pertukaran iaitu membawa masuk Nik Akif dan Azam Azmi bagi mengambil alih tempat Faiz Nasir dan Azarul Nazarith.

Sepakan percuma diberikan kepada TFC, dan penyerang mereka David Da Silva dilihat sangat yakin untuk mengambil sepakan tersebut. Sepakan dari DDS melencong cantik ke dalam gawang gol Sabah FC, namun pengadil membatalkan gol tersebut apabila posisi Rahmat Makasuf yang jelas Offside telah membuat lompatan ke arah bola walaupun tiada sentuhan.

Tambahan masa 5 minit yang diberikan oleh pengadil perlawanan disia-siakan oleh kedua-dua pasukan. Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.