TERENGGANU FC III SUDAH BERSEDIA HADAPI SAINGAN PIALA PRESIDEN 2018
Skuad Terengganu FC III (U-21) baru-baru ini telah menamatkan sesi jelajah perlawanan pra-musim mereka di Kuala Lumpur menentang beberapa pasukan di sana dengan keputusan yang cukup positif. Skuad Terengganu FC III kendalian ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali itu telah mengaturkan 3 siri perlawanan menentang pasukan yang berpangkalan di sana antaranya, skuad presiden PDRM, Selangor United (U-21) dan pasukan Piala Presiden Selangor FA.
Skuad Terengganu FC III memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pertama menentang Selangor United dengan jaringan 1-4. Gol dihasilkan oleh pemain pertahanan Aqil Irfanudin, sebelum Shakir menambah jaringan kedua buat Terengganu FC III seterusnya Izzan Syahmi dan Aizat masing-masing menjaringkan satu gol menjadikan Terengganu FC III selesa dengan kemenangan 1-4 pada siri perlawanan pertama ini.
Skuad ini kemudian turun menentang skuad piala presiden PDRM bertempat di Padang Pulapol dan anak-anak buah Badrul Afzan telah meneruskan rentak cemerlang mereka dengan memenangi perlawanan ini dengan jaringan 0-3. Tiga jaringan dihasilkan oleh Fakhrul Firdaus, Amirul Syazwan dan juga Khairil Nizam.
Perlawanan terakhir bagi siri jelajah pada kali ini adalah merupakan perlawanan tumpuan dimana skuad Terengganu FC III turun menentang skuad piala presiden Selangor yang berlangsung di Padang Ispen, Bangi. Terengganu FC III pada perlawanan kali ini dilihat bermain dengan lebih tersusun dan baik dimana kesemua pemain dilihat semakin serasi diantara satu sama lain dalam membentuk permainan berpasukan. Semangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain juga layak dipuji walaupun ianya adalah merupakan perlawanan yang ketiga, tetapi komitmen dan fokus pemain tidak terganggu dalam usaha untuk mendapatkan kemenangan pada hari tersebut. Keputusannya, Terengganu FC III berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah dengan jaringan 1-2. Jaringan skuad Terengganu FC III dijaringakan oleh pemain lincah Zarulizwan dan juga Raimi.
Pengurus pasukan Terengganu FC III, Mohd Sabri Abas menyatakan bahawa pasukannya itu akan membuat persediaan yang lebih rapi bagi menghadapi saingan Piala Presiden yang dijangka akan lebih sengit pada tahun ini. Saingan Piala Presiden akan mula membuka tirai pada 22 Febuari ini. Pada perlawanan pertama ini, Terengganu FC III akan melayani kehadiran skuad Sarawak FA dalam perlawanan yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.