NAFUZI ZAIN TEKAD UNTUK MEMBINA SEMULA PASUKAN TERENGGANU FC

Terengganu FC mengumumkan pelantikan Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Beliau yang berusia 47 tahun telah menandatangani kontrak selama dua musim yang menyaksikan beliau membimbing skuad Sang Penyu bagi musim 2026/2027 dan 2027/2028, dengan kontrak tersebut berakhir pada Mei 2028.

Pelantikan ini menandakan kepulangan seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan Terengganu FC dan pernah mencipta pelbagai pencapaian membanggakan bersama kelab ini.

Nafuzi bukanlah nama asing dalam keluarga besar Terengganu FC. Beliau pernah membimbing pasukan dari tahun 2019 hingga 2022 dan berjaya membawa Terengganu FC muncul sebagai antara pencabar utama Liga Super, termasuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga pada musim 2020 serta muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada musim 2022.

Kepulangan beliau hadir tepat pada masanya ketika Terengganu FC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih jelas, berfokus dan berdaya saing. Pengurusan kelab percaya pengalaman, pemahaman terhadap budaya pasukan serta hubungan erat beliau dengan penyokong akan menjadi aset penting dalam usaha mengembalikan Terengganu FC ke landasan yang diharapkan.

Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain tempatan dan pemain import, selain menyusun barisan kejurulatihan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC yang telah dipertanggungjawabkan oleh kelab untuk membentuk skuad yang mampu memenuhi kehendak taktikal beliau.

Proses pembentukan pasukan sedang berjalan dengan teliti dan lancar bagi memastikan Terengganu FC memiliki kombinasi terbaik antara pemain sedia ada dan muka-muka baharu yang mampu memperkukuhkan pasukan.

Pelantikan Nafuzi turut mencerminkan komitmen kelab untuk membina sebuah pasukan yang kompetitif, beridentiti jelas dan mampu bersaing secara konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai. Dengan pengalaman luas beliau dalam bola sepak tempatan serta rekod cemerlang bersama Terengganu FC sebelum ini, kelab yakin beliau merupakan individu paling sesuai untuk memimpin projek baharu Terengganu FC bagi tempoh dua musim akan datang.

Selamat kembali ke bumi Terengganu, Nafuzi Zain. Semoga perjalanan baharu ini membawa lebih banyak kejayaan dan detik membanggakan buat Terengganu FC serta seluruh penyokong Terengganu.