MAKLUM BALAS BERKENAAN BERITA MELIBATKAN BEKAS PEMAIN TERENGGANU FC

Tular di media sosial berkenaan isu kegagalan membayar gaji pemain berjumlah 6 angka dan bakal dikenakan sekatan oleh FIFA dikeluarkan peguam yang mewakili pemain.

Terengganu FC menafikan mempunyai tunggakan gaji sehingga 6 angka. Pihak Terengganu FC mengakui masih belum menjelaskan gaji Disember 2023 yang melibatkan 5 angka sahaja. Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak. Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah 5 angka sahaja. Ianya di dalam kemampuan Terengganu FC untuk menyelesaikannya.

Pada 31 Ogos 2024 FIFA telah mengeluarkan surat arahan penyelesaian dalam tempoh 45 hari iaitu jangkaan sehingga 15 Oktober 2024. Terengganu FC sedia maklum dan tindakan penyelesaian akan dilakukan di dalam tempoh masa diberikan. Terengganu FC sentiasa berhubung dengan pemain serta ejennya.

Untuk makluman, Terengganu FC tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan serius daripada FIFA sebelum ini dan segala notis dan arahan sentiasa dipatuhi.