![](https://www.terengganufc.com/wp-content/uploads/2024/04/AGARBOMB-WEBSITE-2-773x380.jpg)
LOGO AGARBOMB PERFORMANCE AKAN DIGUNAKAN PADA BAHAGIAN UTAMA JERSI TERENGGANU FC
Vearich International Sdn Bhd secara rasminya telah menandatangani kontrak sebagai Penaja Platinum Terengganu FC bagi musim 2024/2025. Dengan menyumbangkan tajaan bernilai RM3,000,000.00, pihak Vearich mengharapkan ianya mampu untuk membantu memperkukuhkan kewangan kelab ini untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini. Penajaan ini adalah untuk tempoh satu musim iaitu untuk musim 2024/2025.
Sebagai penaja Platinum, pihak Vearich International akan menggunakan logo produk terbaru mereka iaitu “Agarbomb Performance” sebagai logo promosi yang akan digunakan untuk kesemua aset pemasaran Terengganu FC. Ianya termasuk pada bahagian hadapan jersi rasmi Terengganu FC pada musim ini sekaligus menjawab teka teki penyokong, jenama atau logo yang akan berada di hadapan jersi pasukan kesayangan mereka musim ini.
Vearich International Sdn Bhd adalah merupakan sebuah syarikat tempatan yang telah beroperasi sejak tahun 2017. Dengan menumpukan pengeluaran produk kesihatan yang berkualiti tinggi, Vearich dikenali sebagai sebuah syarikat perniagaan menggunakan platform Network Marketing untuk memberikan lebih faedah buat orang ramai.
Untuk kerjasama bersama Terengganu FC, Vearich ingin menampilkan produk terbaru mereka iaitu Agarbomb Performance yang dijangka akan dilancarkan pada bulan Mei 2024. Kedua-dua pihak melihatkan kerjasama ini akan terus terjalin erat bukan sahaja dalam bentuk penajaan tetapi juga membuka peluang dalam menjana pendapatan melalui perniagaan melalui industri bola sepak. Diharapkan kerjasama ini bakal menjadi sebuah kerjasama yang memberikan manfaat untuk semua pihak.
*Sekitar foto di majlis penajaan Vearich International sdn bhd dan Terengganu Football Club