PENGALAMAN PAPÉ DIAKITÉ KEMBALI MEMPERKASA PERTAHANAN TERENGGANU FC
Terengganu Football Club (Terengganu FC) hari ini mengumumkan kepulangan pertahanan import berpengalaman dari Senegal, Papé Diakité, yang kembali menyertai pasukan bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
Pemain berusia 33 tahun itu telah menandatangani kontrak selama satu musim, sekali gus menyaksikan beliau kembali menyarung jersi Terengganu FC selepas pernah menjadi antara tonggak utama pasukan sebelum ini. Kepulangan Diakité mencerminkan komitmen kelab dalam memperkukuhkan lagi barisan pertahanan menerusi gabungan pengalaman, kepimpinan serta kualiti yang dimilikinya.
Sepanjang bersama Terengganu FC sebelum ini, Diakité mempamerkan aksi yang konsisten dan berdisiplin di benteng pertahanan, selain memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mengharungi saingan Liga Malaysia serta kejohanan di peringkat Asia. Pengalaman luas yang dimiliki beliau dijangka menjadi aset berharga kepada skuad dalam menghadapi cabaran musim baharu.
Dengan ketinggian 1.94 meter, kekuatan fizikal serta keupayaan membaca permainan yang baik, Diakité diharapkan mampu membawa kestabilan di bahagian pertahanan, di samping menjadi contoh kepada pemain-pemain lain menerusi pengalaman profesional yang dimilikinya sepanjang karier.
Pengurusan Terengganu FC percaya kepulangan Diakité akan memberikan nilai tambah kepada pasukan dalam usaha membentuk skuad yang lebih kompetitif dan berdaya saing bagi menghadapi musim 2026/2027. Kehadiran beliau juga diyakini mampu membantu pasukan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam setiap pertandingan yang disertai.
Pengurusan Terengganu Football Club mengalu-alukan kepulangan Papé Diakité dan mampu memberikan sumbangan terbaik demi kejayaan pasukan sepanjang musim ini.