Ulasan Perlawanan Kuching City FC Melawan Terengganu FC
Perlawanan Liga Super Malaysia musim 2025/2026 menyaksikan Terengganu FC berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching bagi menentang Kuching City FC. Pasukan Terengganu FC turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Kastaneer, Azam Azmi dan Kyaw Min Oo. Walau bagaimanapun, pengendali Terengganu FC, Tengku Hazman, tetap yakin anak-anak buahnya mampu memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan tersebut.
Seawal wisel permulaan, kedua-dua pasukan cuba mencipta peluang awal. Terengganu FC terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang disudahkan oleh Shervoni. Tuan rumah cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun pertahanan Terengganu FC kekal berdisplin dan tidak memberi ruang mudah untuk dibolosi. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan Kuching City FC (0) – (1) Terengganu FC.
Memasuki babak kedua, Kuching City FC meningkatkan intensiti serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ronald Ngah, menewaskan penjaga gol Rahadiazli. Terengganu FC kemudian melakukan pertukaran dengan membawa masuk Baqiuddin bagi menggantikan Yann Mabella yang mengalami kecederaan.
Tekanan berterusan daripada tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain import, Etame, menjaringkan gol kedua pada minit ke-79. Terengganu FC cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak berhasil.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan buat Kuching City FC yang meraih tiga mata di laman sendiri selepas menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/2026.