TERENGGANU FC PERKUAT BARISAN SERANGAN DENGAN KEHADIRAN PENYERANG IMPORT, GERVANE KASTANEER

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kelab telah menandatangani pemain import baharu, Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer, bagi memperkasakan barisan serangan pasukan untuk musim ini.

Pemain kelahiran Rotterdam, Belanda, berusia 29 tahun, ini bakal mengisi kuota bebas pemain import Terengganu FC dan telah menandatangani kontrak bersama Terengganu FC sehingga akhir Disember 2026.

Gervane Kastaneer merupakan penyerang pasukan kebangsaan Curaçao, yang telah membantu pasukannya layak ke kejohanan Piala Dunia, sekali gus membuktikan tahap kualiti, pengalaman serta daya saing beliau di peringkat antarabangsa.
Beraksi di posisi penyerang, Kastaneer memiliki ketinggian 1.85 meter, pernah beraksi bersama kelab di Indonesia, dan pengalaman tersebut diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pasukan, khususnya dalam memperkukuhkan jentera serangan pasukan Terengganu FC.

Pihak pengurusan Terengganu FC percaya bahawa kehadiran Gervane Kastaneer akan melengkapkan perancangan perpindahan pemain musim ini, selain meningkatkan daya saing pasukan dalam menghadapi saingan liga dan kejohanan yang bakal ditempuhi.

Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Gervane Kastaneer ke keluarga Terengganu FC, dan berharap beliau dapat memberikan komitmen serta persembahan terbaik demi kejayaan pasukan.