Ulasan Perlawanan UM Damansara Melawan Terengganu FC

Pasukan Terengganu FC memulakan kempen Piala Malaysia 2025/2026 bagi pusingan 16 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas UM Damansara FC dalam aksi timbal balik pertama yang berlangsung di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur.

Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tengku Azman, menegaskan bahawa pasukannya tidak memandang rendah cabaran pasukan lawan meskipun UM Damansara FC beraksi dalam Liga A1. Beliau turut memaklumkan kesemua pemain berada dalam keadaan bersedia untuk perlawanan ini walaupun pasukan kehilangan tonggak utama, Azam Azmi.

Terengganu FC bermula agresif sebaik sepak mula dan berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-5 menerusi rembatan Careca yang menewaskan penjaga gol UM Damansara FC, Ameerul Eqhwan. Pasukan tuan rumah cuba bangkit dengan beberapa percubaan, namun penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli, cekal mengawal gawang. Beberapa peluang tambahan turut dicipta oleh Terengganu FC, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan 1-0 memihak pasukan Terengganu FC.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu FC melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rasid dan Mohamad Baqiuddin bagi menggantikan Engku Shakir serta Haqimi Azim.

UM Damansara FC berusaha mencari gol penyamaan, namun disiplin tinggi barisan pertahanan Terengganu FC berjaya menyekat setiap cubaan yang dilancarkan.

Usaha pasukan tuan rumah terus dihukum apabila Terengganu FC menambah jaringan kedua pada minit ke-77 menerusi sepakan percuma oleh Ehsoni. Walaupun kedua-dua pasukan mencipta beberapa percubaan selepas itu, keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC menamatkan aksi timbal balik pertama ini dengan kemenangan 2-0 ke atas UM Damansara FC. Perlawanan timbal balik kedua dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.