TERENGGANU FC PERKENAL EHSONI PANSHANBE SEBAGAI TONGGAK BAHARU JENTERA TENGAH

Terengganu Football Club (TFC) dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Ehsoni Panshanbe, bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan menjelang saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026.

Pemain berusia 27 tahun ini menyertai Terengganu FC selepas beraksi bersama kelab terkemuka Tajikistan, FC Istiklol, dan dibawa masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain import, Nurillo Tuktasinov.

Ehsoni Panshanbe merupakan pemain posisi tengah yang memiliki pengalaman luas di peringkat kelab dan antarabangsa, selain turut merupakan pemain kebangsaan Tajikistan. Kehadirannya dijangka mampu memberi kestabilan, kreativiti serta kawalan permainan yang lebih mantap di bahagian tengah pasukan Terengganu FC.

Beliau telah menandatangani kontrak selama satu (1) tahun bersama Terengganu FC dan menyatakan komitmen penuh untuk memberikan persembahan terbaik demi membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan bagi musim ini.

Pihak pengurusan Terengganu FC yakin pengalaman serta kualiti yang dimiliki oleh Ehsoni Panshanbe mampu memberi impak positif dan memperkukuhkan keseluruhan struktur pasukan, khususnya dalam mengawal tempo permainan di bahagian tengah.

Selamat datang ke Terengganu FC, Ehsoni Panshanbe.