HAQIMI AZIM PERKUAT JENTERA SERANGAN TERENGGANU FC
Terengganu Football Club dengan ini mengumumkan bahawa pemain Muhammad Haqimi Azim bin Rosli telah menyertai pasukan secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025/2026.
Pemain Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu dipinjam sebagai sebahagian daripada perancangan pasukan untuk memperkukuhkan skuad, khususnya di bahagian serangan Terengganu FC dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026, selain saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Mengulas mengenai penyertaannya bersama Terengganu FC, Muhammad Haqimi Azim menyatakan komitmennya untuk memberikan yang terbaik sepanjang tempoh bersama pasukan.
Pemain kelahiran Gombak, Selangor itu turut menyatakan hasrat untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi membantu Terengganu FC menghadapi pusingan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026, di samping berusaha memberikan komitmen penuh demi kepentingan pasukan.
Pihak pengurusan Terengganu FC percaya kehadiran Muhammad Haqimi Azim akan memberikan nilai tambah kepada pasukan serta membantu meningkatkan kualiti keseluruhan skuad bagi menghadapi cabaran musim ini.