STATUS KECEDERAAN YANN MABELLA
Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) ingin memaklumkan bahawa pemain import pasukan, Yann Kevin Mabella, yang beraksi di posisi penyerang, telah mencapai persetujuan bersama dengan pihak kelab berhubung proses rawatan lanjut bagi kecederaan yang dialaminya.
Hasil pemerhatian serta laporan perubatan yang diterima, Mabella disahkan mengalami kecederaan meniscus dan Chronic Medial Collateral Ligament Injury (MCL), yang memerlukan rawatan khusus serta pemantauan rapi daripada pakar ortopedik.
Mabella telah bersetuju dengan semua syarat yang terkandung dalam dokumen perundangan berkaitan persetujuan bersama tersebut. Berdasarkan penilaian serta keperluan rawatan khusus itu, pihak kelab membenarkan beliau untuk kembali ke Perancis bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan daripada doktor pakar di sana.
Tempoh rawatan dan pemulihan yang diberikan kepada Mabella adalah sehingga 31 Januari 2026, dan beliau dijadualkan kembali melapor diri pada 1 Februari 2026 bagi penilaian susulan bersama pasukan perubatan kelab.
Pihak kelab menghormati keperluan pemain untuk menerima rawatan terbaik demi memastikan beliau pulih sepenuhnya dan kembali bersedia untuk beraksi pada tahap optimum.
Terengganu FC menyeru seluruh penyokong untuk sama-sama mendoakan agar Yann Kevin Mabella diberikan kesembuhan yang cepat dan dipermudahkan segala urusan pemulihannya.