Junior Ngong Sam: Dari Lawan Jadi Harapan Terengganu FC
Junior Ngong Sam menjadi pemain import pertama yang ditandatangani Terengganu FC pada musim ini. Pemain kelahiran Cameroon ini tiba di Terengganu semalam selepas selesai menjalani ujian perubatan dan kecergasan di Kuala Lumpur.
Pemain berusia 27 tahun ini akan beraksi di bahagian serangan pasukan. Pemain yang senang dengan panggilan Sam ini sebelum ini pernah hadir ke Terengganu menentang Terengganu FC dalam saingan Piala AFC sebagai penyerang pasukan Stallion Laguna. Dalam saingan tersebut, Sam berjaya menjaringkan 2 jaringan dalam 2 perlawanan menentang pasukan ini.
Sam menyatakan beliau sangat teruja melihatkan kelengkapan serta fasiliti kelab Terengganu FC semasa pertama kali beliau hadir dalam aksi Piala AFC di sini. Beliau juga merasakan layanan kelab disini berbeza berbanding kelab yang pernah disertainya dan apabila mendapat tawaran daripada Terengganu FC, beliau tidak berfikir panjang dan terus menyatakan persetujuan dan merasakan kelab ini mampu memperkembangkan kariernya. Sam menandantangani kontrak untuk bersama Terengganu FC bagi tempoh 1 musim iaitu musim 2025/2026.
Sam bakal menyarung jersi bernombor 19 bersama Terengganu FC. Diharapkanpemain yang memiliki kelajuan dan kekuatan fizikal ini dapat menambah sengat serta ketajaman pasukan bagi aksi musim 2025/2026.