KENYATAAN MEDIA TERENGGANU FC | 11 JUN 2024

Terengganu FC telah memeterai perjanjian penajaan bersama pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd pada 09 Jun 2024. Proses untuk memuktamadkan penajaan ini telah melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak Terengganu FC seperti penaja-penaja lain. Walaupun begitu, setelah tular perjanjian penajaan ini, munculnya suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan. Ia sekaligus menjejaskan keharmonian kelab.
Pihak Terengganu FC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bolasepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan Terengganu FC sebagai sebuah kelab bolasepak. Selain itu, pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan oleh pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd.
Walaubagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah Terengganu FC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini. Demi keharmonian kelab, dan mengambil kira suara penyokong yang merupakan tulang belakang pasukan, pihak Terengganu FC telah melakukan perbincangan dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd untuk melihat kaedah terbaik penyelesaian isu ini. Atas persefahaman bersama, pihak Terengganu FC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak. Tindakan ini lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang. Pihak Terengganu FC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM 1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.
Bagi pihak Terengganu FC, kami merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama singkat bersama pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd.
Sementara itu, dalam tempoh yang masih berbaki, pihak Terengganu FC akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024.
Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat Terengganu FC, XFOX Market Holdings Sdn Bhd dan semua penyokong-penyokong kelab.