UCAPAN KHAS DARIPADA KETUA JURULATIH TERENGGANU FC II : HAIRUDDIN OMAR
“Berjaya membawa pasukan menjadi juara sekaligus mencipta sejarah baru buat kelab ini sebagai kelab sulung yang berjaya menjulang Piala MFL pada tahun pertama ia dipertandingkan, ianya seakan-akan satu mimpi. Saya tidak boleh nafikan saya sangat gembira dan ianya satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan. Dengan mencatatkan 17 kemenangan, 3 kali seri, hanya tewas 2 kali dan berjaya menjaringkan 30 gol sepanjang saingan, ianya adalah satu pencapaian cemerlang dipamerkan oleh pasukan ini.
Tidak berselindung dalam kecemerlangan yang dicapai oleh pasukan kami, semestinya pelbagai cabaran yang perlu kami hadapi sepanjang musim. Selain pemain-pemain yang mengalami kecederaan dan terlepas untuk beraksi, antara cabaran besar apabila anda mengendalikan pasukan kedua ini adalah sering kehilangan tonggak utama seperti Syahmi, Ubaidullah, Atiq dan Hakim yang kerap dipanggil untuk bersama skuad utama Terengganu FC. Namun ianya juga adalah tujuan utama pasukan ini dibentuk iaitu membekalkan seberapa ramai yang mungkin pemain berkualiti untuk pasukan utama dan saya kira kita berjaya lakukannya. Namun disebalik itu, saya dan barisan kejurulatihan juga perlu segera merangka dan mempersiapkan pasukan di setiap perlawanan berbeza agar sentiasa lancar dan tidak terganggu walaupun tanpa beberapa tonggak utama ini. Saya juga ingin memuji para pemain saya yang sentiasa memberikan komitmen dan bersedia untuk diturunkan, mereka mempunyai mentaliti yang sangat baik.
Dikesempatan ini juga saya ingin memberikan penghargaan serta kredit buat semua yang terlibat dalam kejayaan pasukan Terengganu FC II ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih buat Pengurus Pasukan, barisan kejurulatihan, keseluruhan pegawai dan pembantu pasukan serta para pemain Terengganu FC II. Terima kasih juga buat Pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang meletakkan kepercayaan penuh kepada saya untuk mengendalikan pasukan ini disamping berjaya menjaga kebajikan para pemain dan seluruh pasukan dengan baik. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB kerana beliaulah orang yang pertama membawa saya ke dalam kumpulan kejurulatihan Terengganu FC bermula tahun 2022. Saya mendoakan beliau lebih berjaya untuk tahun-tahun mendatang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Terengganu, yang sentiasa ‘cakna’ disetiap genap untuk sukan bolasepak ini dan sentiasa membantu dalam melancarkan urusan berkaitan sukan ini. Terima kasih buat Barisan Ahli Lembaga Pengarah TFCSB dan Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB yang sentiasa menjadi tunjang utama kelab dalam melancarkan urusan setiap pasukan . Terima kasih buat Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan kakitangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang sentiasa bekerja keras untuk memastikan padang latihan dan perlawanan sentiasa dalam keadaan terbaik untuk pasukan kami. Saya juga ingin kreditkan ucapan terima kasih untuk keluarga saya iaitu ibu bapa dan adik beradik serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan semangat dan mendoakan kejayaan pasukan ini. Akhirya, saya ingin kreditkan kejayaan ini buat seluruh penyokong Terengganu yang kita semua tahu mereka sentiasa setia dibelakang pasukan tidak kira kalah dan menang. Bagi saya kita beruntung kerana mempunyai penyokong terbaik di dalam liga dan saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan yang diberikan.
Menerusi kejayaan ini saya boleh simpulkan, kita membuktikan kita mempunyai ramai pemain berbakat dan jika mereka berjaya menjaga disiplin dengan baik dan sentiasa bekerja keras dalam latihan dan perlawanan, InsyaAllah saya menjangkakan mereka akan melangkah lebih jauh dalam kerjaya bolasepak. Pesanan saya untuk para pemain, ini adalah permulaan untuk kecemerlangan yang lebih baik, jangan kita berpuas hati setakat ini, kerana dihadapan anda akan ada peluang yang lebih besar sedang menanti.
Akhir kata dari saya, kejayaan ini adalah usaha dari semua pihak. Doa serta keikhlasan kita untuk memburu kejuaraan adalah senjata utama yang membuatkan ianya menjadi kenyataan.”
Hairuddin Omar – Ketua Jurulatih Terengganu FC II